Monday, December 27, 2010

BILA TERLALU BEBAS..ISLAM TIDAK DIAMAL SERTA DIABAIKAN....HUKUM ALLAH JAUH DARI PERLAKSANAANNYA....

Pelajar dakwa dirogol bergilir-gilir


SEKINCHAN – Padah mengikut nafsu, lapan remaja, termasuk seorang pelajar menengah atas, bakal berdepan tindakan mahkamah kerana disyaki mencabul dan merogol seorang pelajar 14 tahun secara bergilir dalam kawasan sawah berhampiran Parit Pakat Tali Air 6, di sini, 18 Disember lalu.

Suspek berusia antara 16 dan 22 tahun itu berjaya dijejaki dan diberkas polis setelah menerima aduan daripada mangsa, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Tanjung Karang, Kuala Selangor.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, semua suspek ditahan reman sebelum pertuduhan dibacakan hari ini di Mahkamah Seksyen Klang dan Mahkamah Majistret Kuala Selangor mengikut Seksyen 376 dan 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan mencabul.

Menurut beliau, dalam kejadian antara jam 4 dan 5 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal bersama seorang rakan sebaya sebelum dihampiri kumpulan lelaki berkenaan yang bertindak mengganggu dan menghalang perjalanan.

“Mangsa terperangkap dan dipercayai dirogol secara bergilir oleh lapan suspek berkenaan. Rakannya berjaya menyelamatkan diri.

“Kami tidak menolak kemungkinan semua suspek penduduk tempatan dan mereka adalah kumpulan lepak di kawasan itu,” katanya.

Laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Sabak Bernam.

Noor Mushar berkata, buat masa ini, mangsa berada dalam keadaan stabil dan menumpang buat sementara di kediaman rakannya di sini.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu dapat dielakkan sekiranya ibu bapa mengambil berat mengenai aktiviti ahli keluarga, lebih-lebih lagi re:maja.:

Jelasnya, meskipun pada musim cuti sekolah, kegiatan anak perlu sentiasa dipantau dan diawasi apatah lagi membabitkan anak perempuan.

“Sebagai ibu bapa kita mesti tahu di mana dan dengan siapa mereka berkawan, jangan terlalu mudah melepaskan anak keluar apatah lagi membiarkan mereka keluar sehingga lewat malam,” katanya.



Surau jadi sarang mat gian

KUALA TERENGGANU - Kesucian sebuah surau tercemar akibat kelakuan manusia yang boleh dikategorikan sebagai zalim kerana menjadikan tempat ibadat itu melepaskan gian, malah tanpa segan silu membuang sisa serta jarum yang digunakan di dalam longkang.

Masalah ini sememangnya sukar untuk dihapuskan terutama secara mendadak, tetapi tindakan sekumpulan ‘mat gian’ yang mencemarkan tempat suci itu dianggap kejam dan tidak beradab langsung.

Kelakuan itu perlu dipandang serius kerana sekiranya dibiarkan lebih ramai lagi serta banyak tempat beribadat dijadikan ‘sarang’ mereka melakukan kerja tidak bermoral itu.

Melalui maklumat orang ramai, Sinar Harian membuat tinjauan ke surau Besar Tanjung seperti yang dimaklumkan dan hanya menjumpai jarum serta penyedut minuman yang dipercayai bekas menyimpan dadah.

Seorang pengunjung surau dari Marang, Ghazi Muhammad berkata, dia terkejut apabila pernah terserempak dengan penagih itu yang menggunakan basikal untuk ke lokasi berkenaan.

Lebih mengecewakannya, ‘mat gian’ menggunakan tempat me-ngambil wuduk wanita yang agak terlindung dari jalan besar supaya kelibat dan perbuatan mereka tidak dapat dilihat orang yang lalu-lalang di kawasan itu.

“Saya terkejut melihat ada jarum suntikan yang digunakan penagih dadah di kawasan surau ini dan berharap kawalan ketat dilakukan bagi mengatasi masalah ini daripada terus menjadi lokasi mereka bersama rakan melepaskan gian.

“Tambah berbahaya lagi jika ada wanita datang untuk solat dan terserempak dengan mat gian ini, kemungkinan perkara lebih buruk akan berlaku. Siapa tahu benda kalau hendak jadi kita tidak dapat menduga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselama-tan Kampung (JKKK) Pantai, Busu Yaakub yang bertanggungjawab terhadap surau itu sedia maklum masalah itu dan buntu bagaimana cara untuk mengatasinya.

Menurutnya, dia bersama orang kampung sekitar surau berkenaan, pernah membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung masalah itu, tetapi apabila polis datang dan membuat pemantauan, mat gian tidak muncul.

“Mat gian ini seperti mengetahui polis akan datang membuat serbuan atau operasi kerana usaha itu tidak berjaya menangkap mereka yang menjadikan surau ini sebagai tempat melepaskan gian.

“Sekiranya tertangkap sekalipun, mereka akan membuat kacau balik. Lebih baik tidak dibebaskan kerana masalah itu akan kembali dan tidak pernah serik,” katanya.

Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, walaupun dadah tidak dikategorikan sebagai maksiat, tetapi benda itu adalah haram dan turut termasuk dalam kategori perbuatan yang dimurkai Allah SWT.

Perbuatan melakukan perkara haram terutama di surau atau masjid adalah perbuatan yang biadab serta mencemarkan tempat suci itu kerana surau juga rumah Allah selain masjid.

“Orang yang cetek ilmu agama sahaja akan melakukan perkara dimurkai Allah SWT kerana tidak dapat membezakan kebaikan sebaliknya terlalu tunduk kepada nafsu.

“Menagih dadah juga boleh dikategorikan sebagai maksiat, tetapi dalam bentuk lain kerana menagih dadah dan melakukan maksiat adalah perkara yang mendatangkan dosa,” katanya.

Perbuatan zalim seperti itu tidak wajar dibiarkan kerana bimbang menjadi ikutan kepada orang lain yang turut sama menagih dadah dan perlu diambil serius supaya masalah dadah tidak terus menguasai diri terutama generasi yang bakal menjadi pemimpin masa depan.



Surau wajar ada ketua, pengawal

KUBANG IKAN - Tinda-kan menempatkan ketua atau pengawal di sesebuah surau adalah wajar bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku terutama yang boleh mencemarkan nama baik surau.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Ikan, Muhdi Md Yasin berkata, surau tidak elok dibiarkan tanpa pengawal kerana ia juga memerlukan penjagaan seperti masjid.

“Jika dibiarkan surau tanpa pengawasan banyak perkara buruk berlaku termasuk keadaan persekitaran yang kotor.

“Beberapa individu secara sukarela atau dilantik perlu diberi tanggungjawab untuk menjaga keharmonian surau,” katanya.

Menurutnya, segala urusan surau juga dapat dijalankan dengan lancar sekiranya terdapat pihak yang mengendalikannya tanpa menimbulkan sebarang masalah yang merumitkan keadaan seperti membabitkan hal berkaitan imam.



Pengakuan seorang penagih

ALOR GAJAH - Pengambilan najis dadah berlebihan sejam belasan tahun menghadiahkan penyesalan yang tiada kesudahan apabila disahkan menghidap penyakit saraf otak sehingga memusnahkan rumah tangga dibina.

Jika tidak mengenali, sudah pasti orang menyangka dia tidak siuman dengan gaya berjalan yang terketar-ketar dan diperhatikan sering berjalan sendirian seperti tiada arah tuju, namun untuk mengenalinya bukan sesuatu yang menghairankan.

Perjalanan hidupnya yang panjang penuh dengan kecelaruan akibat kesan pengambilan dadah keterlaluan di masa lampau sehingga hidup keluarganya musnah gara-gara kerakusan najis dadah yang diambilnya sejak berusia belasan tahun.

Dia yang mahu dikenali sebagai Osman Majid, 41, (bukan nama sebenar) mengalami penyakit urat saraf sehingga memaksa dia hidup dalam kegelisahan disebabkan peluh yang sentiasa mengalir ditubuhnya tanpa henti tidak mengira waktu.

Osman yang dahulunya seorang kontraktor berjaya, hidup mewah dengan limpahan wang ringgit bersama bekas isteri dan dua anak perempuannya, namun kini hanya tinggal kenangan apabila bekas isteri dikasihi nekad meninggalkannya.

“Saya kehilangan 25 tahun daripada usia remaja saya kerana mula menghisap ganja pada usia 14 tahun dan berlarutan sehingga menamatkan alam persekolahan dan mula bekerja sendiri sebagai kontraktor serta mula beralih arah menghisap heroin.

“Pada masa itu, saya belum berkahwin dan hidup terlalu mewah kerana dalam sehari saya sanggup belanjakan hampir RM300 untuk membeli najis dadah sehingga saya berkahwin dengan bekas isteri, tetapi tabiat menagih sukar hendak dihapuskan.

Dia yang pernah dipenjarakan selama 10 tahun di Penjara Kajang atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin tidak mampu bekerja sendiri tanpa menghisap najis dadah terlebih dahulu kerana baginya tanpa dadah hidupnya tidak akan sempurna.

Bagaimanapun, menurutnya, sepanjang menagih, belum pernah dia mencuri hak orang lain atau memecah masuk rumah orang semata-mata untuk membeli keperluan dadah kerana baginya duit tidak menjadi masalah kepadanya yang penting dadah perlu sentiasa ada.

“Selepas berpuluh tahun bergelumang dengan najis dadah, saya ditimpa sakit teruk, doktor kata bukan jangkitan HIV, tetapi penyakit saraf otak sehingga saya tidak mampu bekerja beberapa bulan sebelum buat keputusan berhenti daripada menagih.

“Dalam pada saya menderita sakit, bekas isteri saya minta diceraikan dengan alasan saya sudah tidak mampu beri nafkah kepadanya dan dua anak saya selama enam bulan, tetapi saya tidak mahu menceraikan dia sebab saya masih sayangkan dia.

“Akhirnya saya akur selepas mahkamah memutuskan kami bercerai dan saya turut disisih keluarga serta dihalau keluar dari rumah sekali gus merempat menumpang tidur di surau sebagai tempat berteduh. Sejak itu, hidup saya jadi tidak menentu," katanya.

Menurutnya, disebabkan dadah dia hampir menemui ajal kerana mengambil kandungan dadah berlebihan ketika itu, tetapi mujur hayatnya masih panjang, sekalipun sekarang dia tidak secergas dahulu, tetapi dia berpeluang mengecapi kehidupan sendirian.

“Inilah kesudahan hidup saya yang dahulu hidup mewah, sekelip mata segalanya berubah, saya terpaksa hidup merempat,” katanya dengan nada menyesal ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.


Usah sampai terpesong akidah

SENAI - Semua agama bebas menjalankan aktiviti serta upacara keagamaan masing-masing asalkan tidak keterlaluan serta tidak menjejaskan sensitiviti agama lain.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut berkata, Islam tidak melarang agama lain untuk meraikan upacara keagamaan mereka berikutan penghormatan beragama diberikan kepada semua penganut di negara ini yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Namun begitu, kata bekas mufti negeri itu, umat Islam sendiri diingatkan supaya sentiasa menjaga akidah mereka iaitu dengan memelihara hati, lisan serta perbuatan agar tidak terpesong dari ajaran agama Allah.

“Umat Islam wajib memelihara akidah Islamiah supaya tidak terpesong dari landasan syarak serta diingatkan menjaga agama, maruah, akal fikiran, keturunan dan memastikan sumber rezeki yang halal,” katanya ketika diminta mengulas sambutan perayaan Hari Krismas yang turut diraikan oleh masyarakat Islam.

Beliau berkata, Hari Krismas merupakan perayaan keagamaan justeru, umat Islam perlu memberi perhatian terhadap perkara tersebut agar tidak terkeliru.

“Perayaan Krismas disambut oleh mereka yang beragama Kristian maka, umat Islam perlu sedar bahawa mereka perlu berhati-hati supaya tidak terpesong akidah serta tidak berlebih-lebihan menyambutnya sebagaimana penganut Kristian itu sendiri.

“Selain itu, hukum berpakaian Santa Claus juga adalah haram bagi umat Islam sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang melarang umatnya menyerupai kaum agama yang lain termasuk cara berpakaian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, para majikan juga perlu maklum berkenaan tuntutan ajaran Islam agar tidak menyuruh apatah lagi memaksa para pekerja yang beragama Islam memakai pakaian Santa Claus di tempat kerja bersempena perayaan Krismas.

“Para majikan mestilah memahami kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Oleh itu, mereka perlu menghormati tuntutan Islam yang melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama,” katanya.

No comments:

Post a Comment