Friday, September 2, 2011

ADA YANG PILU RAYA..ADA YANG GEMBIRA DENGAN KEUNTUNGAN...JANGAN LUPA HAK ALLAH DALAM KEUNTUNGAN...JANGAN TAK DAN REBUT BERAMAL DIBULAN RAMADHAN...AGAK2LAH...HIDUP KEKAL AKHIRAT...HATI2 TIPU DAYA SYAITAN...MENENTANG ISLAM MACAM KOMUNIS...BAHAYA KENYATAAN NI...MAKA SAMALAH MANA2 PIHAK..ATAU PARTI TAK LAKSANAKAN ISLAM...TARAF SAMA MACAM KOMUNIS...HATI2...JANGAN SENJATA MAKAN TUAN....

Majikan kurung amah seminggu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung sejak seminggu lalu dan hanya diberikan makan mi segera berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pandan Indah, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa warga Kemboja berusia 18 tahun itu mula bekerja di rumah terbabit sejak tiga bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar, malah dia tidak dibekalkan kunci rumah atau nombor telefon majikannya untuk tujuan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes dera pembantu rumah.
Katanya, selepas tiba di rumah itu, pihaknya mendapati rumah berkenaan dikunci dan hanya dapat berinteraksi dengan mangsa melalui tingkap belakang. “Anggota polis meminta nombor telefon majikan daripada mangsa, tetapi dia tidak mempunyainya dan kami terpaksa memecahkan pintu depan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selepas disoal siasat, mangsa mendakwa dikurung di rumah sejak seminggu lalu dan majikannya keluar untuk tempoh berkenaan.

“Dia hanya diberikan makan mi segera dan kadang-kala jiran akan memberikannya makanan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun dia dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Amiruddin berkata, pihaknya sedang menjejaki majikan mangsa untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah.
Menurutnya, siasatan lanjut juga sedang dijalankan mengenai rumah yang dijadikan tempat untuk menyembunyikan mangsa.

Katanya, mangsa dihantar ke pejabat Kedutaan Kemboja untuk perlindungan sementara.

‘Puding tidak sesedap air tangan Ashraf’

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Walaupun sudah sebulan arwah meninggalkan kami sekeluarga, ada kalanya saya seolah-olah terasa kehadirannya terutama apabila memasak di dapur.
“Arwah seorang anak yang ringan tulang dan rajin membantu di dapur. Sudah menjadi kebiasaan dia membantu saya di dapur sejak kecil lagi,” kata ibu kepada Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, lelaki yang gagal dalam permohonannya menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana.

Mohd Ashraf Hafiz meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Jantung Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada 30 Julai lalu selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat muntah-muntah dan pitam sehingga tekanan darahnya dikatakan menurun.
Dalam nada sebak mengenangkan pemergian anaknya, wanita yang membahasakan dirinya sebagai Cik Yah, 50, itu berkata ketiadaan arwah sememangnya dirasai terutama pada Aidilfitri ini apatah lagi arwah rapat dengan keluarga.

“Setiap kali Aidilfitri, arwah antara yang paling sibuk membuat persediaan. Arwah boleh diharap kerana semua urusan memasak, mengemas dan menghias rumah diuruskannya tanpa disuruh. Jika ada tetamu pun, arwahlah yang menyiapkan air tanpa perlu saya membantunya.

“Mengenai hidangan kegemaran arwah ketika Aidilfitri, dia paling pandai memasak puding koktel dan kek coklat. Malah, hidangan berkenaan bukan saja menjadi menu wajib kami sekeluarga ketika Aidilfitri, tetapi turut digemari tetamu lain sehingga ada yang menempah kek coklat itu.

“Bukan saya hendak memuji anak sendiri, tetapi masakan arwah memang sedap. Namun, semuanya hanya tinggal kenangan. Tahun ini, saya ada menyediakan puding koktail atas permintaan adik arwah. Namun, rasanya tidak seenak air tangan arwah.

“Jika diikutkan, saya tidak mahu menyediakan puding koktel kerana hidangan itu membuatkan saya terkenangkan arwah,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di sini, semalam.
Menurutnya, arwah bagaimanapun kurang membantunya dalam kerja berat seperti memanjat atau membersihkan kipas.

“Kalau bab memasak, arwah memang cekap, tetapi kerja berat semuanya diserahkan kepada adik arwah. Sejak kecil lagi, arwah memang lebih suka membantu saya daripada bermain di luar,” katanya.

Ditanya sama ada arwah ada menunjukkan sikap pelik sebelum meninggal dunia, Cik Yah memaklumkan arwah ada memakai purdah sebelum dimasukkan ke HSNZ selain mengambil beberapa keping gambarnya sendiri ketika dirawat di hospital itu.

Terpaksa beraya di rumah bocor



TENDONG – Seorang warga emas, Harun Che Mat, 90, bukan sahaja terpaksa beraya dalam rumah bocor, malah menahan kesakitan akibat cedera terkena pokok tumbang di Kampung Hutan Cengal, sehari sebelum Aidilfitri.

Anaknya, Mohd Nasir Harun, 41, yang tinggal berdekatan terus membawanya mendapatkan rawatan susulan bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman di kepala dan kaki bapanya sejurus selepas kemalangan terbabit.

Mohd Nasir berkata, ketika kejadian, dia sedang berbual bersama anak dan anak saudaranya di anjung rumah.

“Tiba-tiba kami dengar dentuman kuat dari belakang rumah dan saya dapati bilik ayah terkena serpihan batang pokok durian sehingga mencederakannya.

“Namun, mujurlah sebahagian besar pokok ditahan atap zink, jika tidak, pasti ayah dihempap sepenuhnya pokok berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu Mohd Kamarudin Harun, 59, berkata, bapanya lebih banyak berehat dalam rumah memandangkan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Bapa yang dahulunya bekerja sebagai pengayuh beca, kini tidak lagi mampu berjalan memandangkan lulutnya tidak lagi sekuat dahulu.

“Penghulu kampung dan Adun Tendong, Dr Mohamad Md Daud juga hadir bagi membantu mengurangkan kesulitan dihadapi,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga berterima kasih kepada Adun kerana sudi menghulurkan bantuan bagi membaiki bilik tidur bapa yang rosak.

Dapat RM5,000 sehari


JERTIH - Kedatangan Ramadan yang baru berlalu bukan sahaja memberi rezeki kepada peniaga juadah berbuka puasa malah menjadi bulan ‘durian runtuh’ kepada peniaga pakaian dan kuih-muih untuk Aidilfitri.

Perniagaan mereka akan mendapat sambutan berlipat kali ganda berbanding hari biasa, manakala yang ingin mencuba juga tidak terlepas menikmati rezeki ini.

Menyedari peluang keemasan itu hanya datang setahun sekali, belia di daerah ini turut bertindak bijak mencari wang hingga mencecah puluhan ribu ringgit di bazar Aidilfitri di sini dalam tempoh sebulan.

Bagi Wan Mohd Faizul Asraf Wan Mamat, 22, masa yang ada adalah lebih baik jika dimanfaatkan dengan berniaga di bazar Aidilfitri.

Menurut Wan Mohd Faizul Asraf, dia memilih untuk berniaga pakaian sejak tiga tahun lalu kerana mendapat sambutan hebat menjelang hari raya.

“Tahun ini saya menyewa empat ruang khemah (lot) untuk menjual pakaian di lokasi berbeza di bandar Jertih iaitu tiga di depan Up Town Pasaraya Econjaya dan satu di Dataran Jertih Souq, saya memperoleh pendapatan kasar bagi keempat-empat lot kedai tersebut RM5,000 sehari,” katanya.

Keuntungan jadi pembakar semangat

Wan Mohd Faizul Asraf berkata, keuntungan diperoleh dalam perniagaan pada Ramadan dua tahun lalu membakar semangatnya untuk menyewa lebih banyak gerai.

Menurutnya, pada peringkat awal Ramadan, sambutan pelanggan agak berkurangan, malah ada kalanya tidak banyak pakaian dijual.

Bagaimanapun dua minggu sebelum hari raya, semakin ramai pelanggan yang membeli dan meningkat dari hari ke hari sehinggalah hari terakhir puasa.

“Hari terakhir Ramadan adalah paling menyeronokkan kepada ribuan orang ramai khususnya perantau yang pulang ke kampung akan ‘menyerbu’ bazar Aidilfitri untuk membeli-belah dan barangan yang dijual akan jadi seperti ‘pisang panas,” katanya.

Dia yang mempunyai lapan pekerja terdiri daripada remaja setempat amat meminati bidang perniagaan walaupun pada hari biasa dia membantu berniaga di kedai makan bapanya di Medan Selera Jertih.

Katanya, bekalan pakaian terutama baju Melayu diperoleh di Kuala Lumpur, manakala seluar lelaki dan pakaian lain dibeli sendiri di China.

Menurutnya, belia patut mengambil peluang menjual pelbagai jenis produk untuk hari raya termasuk kuih-muih, perhiasan rumah dan pelbagai lagi.

Jual 31 jenis biskut raya

Sementara itu Mohd Fairuz Shaari, 24, berkata, tugas sebagai anggota keselamatan tidak menghalang dia menjalankan perniagaan menjual pelbagai biskut di bazar Aidilfitri di sini.

Anak jati Keluang, Johor itu merebut peluang mencuba nasib berniaga lebih 31 jenis biskut raya di lokasi tersebut buat kali pertama tahun ini.

“Sebelum ini saya menjalankan perniagaan sambilan ketika musim perayaan di Johor, tetapi setelah bertugas di negeri ini saya ini mencuba berniaga barangan sama di sini pula.

“Perniagaan ini tidak mengganggu tugas saya kerana saya mempunyai beberapa pekerja yang menjaga dan menguruskan kedai itu,” katanya.

Menurutnya, dia mula menceburi bidang perniagaan apabila membantu rakannya menyewa separuh daripada satu khemah dengan kadar sewa lebih RM1,000 untuk tempoh tersebut.

Ternyata usahanya mencuba nasib berniaga di bumi Besut Ulul Albab ini tidak sia-sia apabila dia memperoleh pendapatan kasar sebanyak kira-kira RM27,000 sepanjang berniaga di bulan puasa.

“Beberapa hari terakhir menjelang Aidilfitri paling seronok berniaga apabila kedai saya diserbu orang ramai yang ingin membeli biskut dan kuih pada saat akhir,” katanya.


Peniaga songkok untung berganda


ALOR TEMBESU – Songkok merupakan aksesori hiasan kepala yang melambangkan budaya orang Melayu dan bagi sesetengah individu, tidak lengkap sekiranya mengenakan baju Melayu bersama samping tanpa memakai songkok.

Bagi penduduk di daerah Dungun, nama Nusa Tahir sudah tidak asing lagi kerana individu ini merupakan pelopor perniagaan membuat songkok sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Kini, walaupun individu bernama Nusa ini sudah tiada, namun bakat yang ada pada arwah diwarisi anak lelakinya, Ahmad Yani, 43.

Jualan cecah 300 hingga 400 unit

Ahmad Yani yang kini menjalankan perniagaan membuat serta menjual songkok dekat sini ketika ditemui berkata, budaya memakai songkok dalam kalangan orang Melayu sekarang kian berkurangan.

Menurutnya, permintaan terhadap songkok biasanya hanya meningkat pada musim perayaan sahaja.

“Pada musim perayaan khususnya ketika menjelang Aidilfitri, saya dapat menjual songkok secara runcit antara 300 hingga 400 unit berbanding hari biasa hanya mencecah tidak sampai 50 unit sebulan.

“Sempena hari raya, ramai yang nak pakai songkok baru. Sebab itu kedai saya biasanya menjadi pilihan kerana perniagaan saya ini sudah dikenali ramai sejak zaman sebelum merdeka lagi,” kata Ahmad Yani.

Ahmad Yani berkata, songkok buatannya yang menggunakan jenama ‘Songkok Malaysia’ itu menjadi pilihan individu pelbagai lapisan tidak kira sama ada pemimpin, pegawai kerajaan ataupun orang perseorangan.

“Alhamdulillah, setiap kali raya, rezeki saya meningkat kerana ramai orang nak beli atau tempah songkok baru.

“Paling banyak mendapat sambutan ialah saiz kanak-kanak kerana saiz kepala kanak-kanak cepat berubah. Sebab itu ibu bapa mereka membeli songkok baru setiap tahun,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Yani berharap agar budaya memakai songkok yang menjadi sebahagian daripada pakaian seharian masyarakat terdahulu diamalkan kembali kerana songkok juga melambangkan identiti orang Melayu.

Peneroka serbu kedai runcit

FELDA KERTEH TIGA - Biarpun tanpa pasar raya berpendingin hawa, namun kewujudan kedai runcit dengan pelbagai barangan keperluan harian sudah mencukupi bagi kalangan masyarakat peneroka Felda untuk membolehkan mereka mendapat bekalan secukupnya sempena sambutan Aidilfitri.

Bagi masyarakat peneroka, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, kedai runcit adalah premis perniagaan yang menjadi sasaran utama.

Pengusaha kedai runcit, Suhailah Mohd, 37, berpendapat, menjalankan perniagaan kedai runcit di kawasan Tanah Rancangan Felda amat mencabar selain memberi pulangan yang lumayan jika ia diuruskan dengan baik.

Suhailah yang membuka kedai runcit di Felda Kerteh Tiga, Dungun berkata, kedai runcit miliknya menjadi tumpuan masyarakat Felda, terutama pada waktu puncak, iaitu beberapa hari sebelum ketibaan Syawal.

Menurutnya, kebanyakan anak peneroka yang pulang ke kampung halaman mereka menyerbu kedai runcit Suhailah untuk membeli barang keperluan pada saat akhir sebelum menyediakan juadah hari raya keesokan harinya.

“Biasalah berniaga musim raya ni seronok sikit sebab jualannya bertambah, masa inilah kita dapat meningkatkan keuntungan perniagaan.

“Untuk kemudahan masyarakat di sini, saya akan menyambung masa operasi perniagaan. Malah, hari raya pertama pun saya sudah buka kedai kerana ramai yang akan menyerbu kedai runcit saya untuk membeli pelbagai barangan diperlukan. Pada malam raya pula lewat malam baru tutup,” katanya.

Suhailah berkata, biarpun keadaan ekonomi di negara ini difahamkam mengalami kemerosotan, namun perniagaannya tidak terjejas kerana ia melibatkan perniagaan barangan keperluan pengguna.

Daging lembu tempatan masih jadi pilihan

DURIAN MENTANGAU - “Biarpun daging lembu mencecah RM18 sekilo, namun masih ramai menjadikan daging lembu sebagai pilihan utama menjelang Aidilfitri, sebab itu saya terpaksa menambah stok lembu agar ia tidak terjejas”, kata Yaakob Mamat, 60, seorang peniaga daging lembu tempatan.

Yaakob berkata, pada hari biasa, dia hanya menyembelih seekor lembu setiap hari, malah kadangkala bekalan itu berlarutan hingga hari kedua.

Namun katanya, menjelang Aidilfitri, tiga hari sebelum raya, dia terpaksa menyembelih sehingga tiga ekor lembu sehari.

“Untuk lembu pertama, kadang-kadang sebelum jam 11 pagi sudah habis dijual. Jadi setiap kali musim raya, saya terpaksa masuk ke kampung untuk mencari lembu penduduk untuk dijadikan stok,” katanya kepada Sinar Harian.


Peniaga nira, kuih raih pendapatan berganda


MARANG – Ramadan lalu memberi keberkatan dan rezeki kepada kalangan pengusaha makanan dan minuman kerana hasil pendapatan mereka meningkat berbanding pada hari biasa berikutan mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Bagi peniaga kecil hasil jualan yang meningkat itu digunakan untuk membuat persiapan Aidilfitri ini dan menampung perbelanjaan keluarga selepas ini.

Maka tidak hairanlah rata-rata peniaga yang memperoleh pendapatan agak berbaloi ini bercuti panjang selepas hari raya.

Seorang peniaga air nira, Azizah Mamat, 51, bersyukur kerana rezekinya lebih murah sepanjang Ramadan lalu sehingga mampu memperoleh RM200 hingga RM300 sehari berbanding pada hari biasa tidak sampai RM100.

Menurutnya, dia menjual dua jenis air nira iaitu nira kelapa yang diisi dalam plastik RM1.50 sebungkus sementara nira yang diisi dalam botol 500 mililiter dijual dengan harga RM3 sebotol dan RM5 bagi nira nipah.

“Sepanjang Ramadan lalu mak cik mampu menjual 100 bungkus dan 50 botol nira kelapa dan nipah setiap hari. Malah jumlah itu meningkat seminggu sebelum Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizah yang mula menjalankan perniagaan menjual air nira kelapa dan nipah sejak lima tahun lalu berkata, nira antara minuman yang paling digemari untuk berbuka puasa dan pendapatannya meningkat mendadak sepanjang seminggu lalu.

“Orang ramai sudah mula bercuti. Bagi yang melalui jalan utama di sini, sudah pasti berhenti untuk mendapatkan minuman ini, ketika itu mak cik tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya yang berniaga di gerai tepi jalan di Kelulut di sini.

Katanya, wang hasil jualan minuman yang dapat dikumpulkan digunakan untuk berhari raya dan membeli keperluan dapur sepanjang seminggu bercuti selepas ini.

Katanya, bekalan air nira sukar diperoleh juga mendorongnya bercuti panjang.

Bazar Ramadan lokasi strategik

Sementara itu, Ramadan lalu juga boleh diibaratkan sebagai pintu rezeki kepada peniaga kuih raya yang mengambil kesempatan melipatgandakan keuntungan mereka, baik yang berniaga tetap mahupun sambilan sepanjang bulan mulia itu.

Ada juga peniaga yang menjadikan bazar Ramadan sebagai pilihan mereka untuk memperluaskan pasaran menjual produk bagi menambah duit raya.

Lokasi tersebut dianggap strategik dan ideal untuk orang ramai membeli kelengka-pan Aidilfitri lantas tapak perniagaan sementara diuruskan oleh Majlis Daerah Marang (MDM) di seluruh daerah ini boleh diibaratkan lubuk rezeki peniaga ini.

Selain kuih raya, pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu pelbagai jenis kelengkapan hari raya lain turut dijual seperti telekung, kopiah dan perhiasan rumah.

Menurut salah seorang pengusaha kuih raya dari Jalan Darul Falah, Bukit Payong, Hatiah Mohd Zain, 45, peluang untuknya mempromosikan produk kepada orang ramai di bazar Ramadan tidak dilepaskan dan dia meraih pendapatan berganda sepanjang seminggu lalu.

“Lokasi tersebut strategik dan pembeli sentiasa ada. Beberapa hari menjelang Aidilfitri lebih ramai akan membanjiri kawasan ini,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu sembilan tahun lalu dan mempunyai kilang di Jalan Darul Falah.

Menurutnya, seronok berniaga di bazar apabila berpeluang bertemu dengan ramai pelanggan dan memperkenalkan produk mereka walaupun terpaksa berpanas dan berhujan namun hati puas kerana ia keperluan penting dalam menyambut Aidilfitri.

Syarikat Hatiah mengeluarkan produk makanan ringan antaranya kerepek ubi, kerepek pisang, dan kerepek udang baring serta kuih tradisional seperti kuih siput dan kuih bunga durian dengan harga antara RM10 hingga RM20 sebungkus.

“Syukurlah kerana sepanjang Ramadan tahun ini rezeki kami amat memberangsangkan dan keuntungan yang diperoleh dapatlah digunakan untuk menyediakan keperluan sepanjang seminggu menyambut hari raya,” kata ibu tunggal ini.

Hatiah ketika ini menghentikan operasi perniagaannya selama seminggu bagi menyambut kemeriahan Aidilfitri namun akan menerima tempahan semula jika ada pelanggan yang ingin mengadakan rumah terbuka.

Pengusaha penginapan ambil langkah pelbagai

Dalam pada itu menurut seorang penguasaha pusat penginapan harian di Kelulut, Muzlinah Kamarudin, 26, berkata, sepanjang seminggu Aidilfitri ini berbeza berbanding seminggu akhir pada Ramadan lalu kerana perniagaannya meraih keuntungan berganda.

Menurutnya yang mula menjalankan perniagaan dengan menggunakan nama Impiana Marang Chalet di Rhu Muda di sini, sebanyak 13 buah bilik yang disediakan penuh kerana mendapat tempahan pelanggan yang pulang untuk berhari raya bersama keluarga.

“Biasanya chalet ini penuh sepanjang 10 hari sepanjang Aidilfitri ini kerana kami menerima ramai pelanggan yang mempunyai ahli keluarga besar tinggal di sini dan mereka memberi alasan tidak tinggal bersama keluarga kerana rumah keluarga kecil,” katanya.

Bagaimanapun berbeza pula dengan seorang lagi pengusaha rumah penginapan di sini, dikenal sebagai Hamzah, 40-an yang mengusahakan sebuah pusat penginapan di Rhu Rendang, menurutnya, dia menghentikan operasi selama tiga hari.

 Beli stok pakaian raya dari negara jiran



KEMAMAN – Ketibaan bulan Ramadan disusuli dengan sambutan Aidilfitri membuatkan rata-rata peniaga tersenyum lebar.

Di sebalik senyuman itu golongan peniaga di daerah ini bersyukur kerana limpahan rezeki sepanjang bulan mulia penuh keberkatan diharungi selama sebulan.

Peniaga pakaian, Nor Azmah Mohamad, 22, berkata, sepanjang Ramadan baju kurung yang dijualnya mendapat permintaan yang sangat tinggi sekali gus meningkatkan hasil jualannya sepanjang Ramadan lalu.

“Jualan sepanjang Ramadan sangat bagus, yang paling laku ialah baju kurung kerana saya jual pada harga berpatutan, paling murah RM89 dan paling mahal RM199.

“Saya turut menjual baju Melayu, selendang, jubah, dan pakaian kanak-kanak. Semuanya mendapat permintaan tinggi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Beli-belah Mesra Mall, Kemasik, di sini.

Sepanjang Ramadan, Nor Azmah yang memiliki dua cawangan, iaitu di Kompleks Perniagaan Casa Limbong, Chukai dan di Kuala Lumpur turut membuka gerai jualan di Pusat Beli-belah Mesra Mall.

Menurutnya yang juga anak keenam daripada 14 beradik, bekalan baju kurung yang telah siap dijahit serta pakaian lain diambil dari Kuala Lumpur dan negara jiran termasuk Vietnam dan Indonesia bagi memenuhi permintaan menjelang Syawal.

“Saya laburkan RM100,000 untuk membeli stok jualan pakaian raya. Alhamdulillah hasil jualan juga tidak mengecewakan.

“Bagaimanapun, jika dibandingkan tahun lalu, jualan tahun ini agak merosot sedikit,” katanya yang baru mendirikan rumahtangga bersama Mohd Fazli Ahmad, 27, pada Jun tahun lalu dan tinggal di Kampung Padang, Kemasik.

Menurutnya yang bergelar usahawan sejak berumur 19 tahun, minat mendalam dalam perniagaan mendorongnya membuat pinjaman bank sebanyak RM20,000 sebagai modal awal untuk memulakan perniagaan pakaiannya di samping turut dibantu adik-beradik yang lain.

Katanya, jualan setiap hari sepanjang Ramadan yang diperolehnya mencecah lebih RM1,000 sekali gus dapat menampung kos sewa tapak dan kos lain berkaitan.

Tudung, blaus, kerongsang laris

Selain baju kurung pelbagai aksesori pakaian wanita yang dijual peniaga turut laris bagaikan ‘goreng pisang panas’.

Pekerja di Lyana Collection yang turut membuka booth jualan di Pusat Beli Belah Mesra Mall, Tengku Zayata Ain Tengku Hamad, 22, berkata, sepanjang Ramadan semua barangan yang dijual di booth mereka laku termasuk pelbagai fesyen selendang, kerongsang, seluar wanita, jubah, skirt, butang baju Melayu dan biskut raya.

Menurutnya yang juga adik pemilik gerai berkenaan, Tengku Zaizah, 37, berbeza pada bulan biasa pada Ramadan jualannya yang dicapai mencecah RM5,000 sehari pada Jumaat dan Sabtu manakala pada hari biasa hasil jualan sekitar RM3,000 sehari.

“Pada bulan biasa jualan hanya sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja. Alhamdulillah berniaga pada bulan Ramadan murah rezeki memandangkan permintaan daripada pelanggan juga tinggi.

“Selain baju kurung, kerongsang yang kami jual juga laku kerana rata-rata pelanggan membelinya untuk digayakan bersama tudung dan baju kurung mereka,” katanya.

Menurutnya, bekalan jubah yang diambil dari Indonesia dan Kuala Lumpur juga mendapat permintaan yang baik sehingga stok juga hanya tinggal sedikit.

Komunis tentang Islam


KUALA TERENGGANU – Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda Umno Kuala Terengganu, Othman Endut, menganggap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong tidak wajar.

Menurutnya, kenyataan sedemikian tidak patut dikeluarkan oleh seorang pemimpin kedua tertinggi dalam parti yang memperjuangkan dasar Islam.

Othman berkata, sama ada beliau sedar atau tidak, perjuangan komunis amat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan Pas kerana kumpulan itu menentang dasar Islam.

“Tidak mustahil kalau mereka memerintah negara akan diacuankan sedemikian,” katanya.

Dalam laporan agensi berita, pemimpin Pas itu didakwa menyifatkan Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis, adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di Balai Polis Bukit Kepong.

Othman turut menyifatkan kenyataan Mat Sabu sebagai teruk kerana membela mereka yang melakukan banyak pembunuhan terhadap rakyat dalam negara untuk memastikan mereka dapat menguasai negara ini.

Beliau berkata, keadaan itu juga seolah-olah menafikan perjuangan sebenar pejuang tanah air yang bermati-matian suatu ketika dulu yang bangkit untuk menentang kegiatan komunis di negara ini.

Jelasnya, dengan jasa tentera dan polis yang bermandi darah untuk membela rakyat dan mempertahankan negara daripada dikuasai komunis, keadaan itu telah menyebabkan orang ramai mendapat keselesaan pada hari ini selain dapat keluar rumah tanpa rasa takut, tidak sebagaimana ketika komunis bermaharaja lela.

“Mereka banyak melakukan pembunuhan dalam negara dan kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa bertarung nyawa. Kalau dia kata komunis pejuang negara ia adalah sama sekali tidak patut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kenyataan Mat Sabu berkemungki-nan mempunyai unsur politik serta dianggap membela sekumpulan tertentu yang ditahan kerana dipercayai cuba menghidupkan kegiatan komunis di dalam negara.

ALFATIHAH..KITA UCAPKAN TAKZIAH UNTUK KELUARGANYA...REDHA...MERCUN BAHAYA...MEMBAZIR...BUKAN BUDAYA ISLAM...TASABUH@MEYERUPAI...MAKA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN BOLEH JATUHKAN HUKUM HARAM ATAU HARUS...BAGI KES TERLALU PERIBADI JANGAN HEBUH2...AKAN AIB KEDUA2 BELAH PIHAK...JANGAN KITA JADI PENGADU DOMBA...DILARANG DALAM ISLAM...

Serang hendap


IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.
IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.
MOGADISHU: Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, terbunuh selepas ditembak ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini, malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia jam 11.15 malam tadi (jam 6.15 petang di Somalia) iaitu kira-kira sejam selepas terkena tembakan curi dipercayai dilepaskan kumpulan pemberontak.
Dalam kejadian serang hendap itu, seorang jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan secara rambang.

Wartawan Harian Metro, Mohamad Apendy Issahak ketika dihubungi di Mogadishu lewat malam tadi memberitahu, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan, Allahyarham bersama petugas media Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan di sini selepas melawat kem penempatan dalaman (IDPs) Waveri, dekat sini.


Seramai 53 lagi anggota misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk petugas media bagaimanapun terselamat dalam serangan itu dan mereka kini dalam proses pemindahan ke lokasi selamat.
Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang sedang menuju ke hotel.
Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku ketika Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar laporan berita apabila terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya.

Mangsa yang dibawa masuk ke dalam hotel sejurus selepas kejadian, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.07 malam waktu Malaysia.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media Malaysia, tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi berkenaan yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dijangka pulang pada 8 September ini.

Wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam tadi memberitahu Aji Saregar cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) ketika mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh ke belakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mentuanya di Serdang Raya, dekat sini, terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada kira-kira 5.30 pagi waktu tempatan hari ini.

Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi, hari ini.

Belum pulang cincin

Oleh Asmizan Mohd Samiran dan Fathil Asri
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Kenyataan dibuatnya pertunangan dia dengan anak saya sudah putus secara rasmi tidak benar. Sejak dia beritahu akan memutuskan pertunangan mengikut adat Melayu dan memulangkan cincin pertunangan dengan bantuan keluarga angkatnya, sampai hari ini semua itu tidak berlaku,” kata ibu Aimie Harmelia atau Elia.
Wanita berusia 46 tahun yang enggan dikenali berkata demikian sebagai menafikan kenyataan terbaru penjaga gol sensasi kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 22, baru-baru ini yang mendakwa pertunangannya dengan Elia diputuskan secara rasmi.
Ibu Elia berkata, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek hanya mengeruhkan lagi suasana, malah mengaibkan keluarganya.

“Kalau dia (Khairul Fahmi) ‘jantan’ sangat, kenapa tak datang jumpa kami sendiri. Dia banyak memberikan kenyataan tidak benar, sekali gus memberi persepsi negatif kepada keluarga kami.


“Bila dia kata nak putuskan pertunangan ikut adat Melayu, sehingga hari ini dia sebenarnya tak buat apa-apa pun. Kami malas hendak memanjangkan isu ini, tapi apabila dia memberi kenyataan tidak benar, kami kena perbetulkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mercun meletup di muka

Oleh Abd Rahman Adam
am@hmetro.com.my

SAKIT...Ezzwan terlantar di hospital, semalam.
SAKIT...Ezzwan terlantar di hospital, semalam.
KUCHING: Tindakan seorang remaja singgah melihat sekumpulan rakannya bermain mercun ketika dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan rumahnya di Kampung Tabuan Melayu di sini, mengundang padah apabila dia kini mungkin hilang penglihatan sebelah mata akibat terkena letupan mercun bola.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam menjelang 1 Syawal itu, Ezzwan Yuswan Jemat, 18, ke kedai runcit milik keluarga yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil barangan bagi persiapan Aidilfitri. Menurut ibu mangsa, Rosnah Umar, 57, anak bongsu daripada empat beradiknya itu singgah melihat sekumpulan rakannya bermain mercun ketika dalam perjalanan ke kedai.

Difahamkan ketika itu seorang rakan anaknya membakar mercun bola, namun tidak meletup dan Ezzwan membongkokkan badan untuk melihat mercun berkenaan sambil menyuluh menggunakan lampu telefon bimbitnya.
“Tiba-tiba mercun bola berkenaan meletup dan percikan api terkena seluruh muka serta mata kanannya menyebabkan anak saya meraung kesakitan. “Mujurlah beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian itu terus membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Menurut Rosnah, hasil pemeriksaan doktor mendapat kornea mata kanan anaknya mengalami kerosakan dan berkemungkinan menyebabkan penglihatannya terjejas atau lebih teruk lagi boleh mengakibatkan buta.

“Namun perkara itu belum dapat disahkan 100 peratus kerana doktor masih merawat kecederaan itu. Mujurlah kecederaan mata kiri anak saya tidak terlalu teruk kerana dia masih boleh melihat walapun penglihatannya agak kabur,” katanya.

Katanya, berikutan insiden itu, sambutan Aidilfitri keluarganya tidak meriah berbanding sebelumnya kerana terpaksa menjaga Ezzwan yang kini masih dirawat di hospital.

WARTAWAN TELAH BERJAYA JEJAK ORANG MISKIN...MUNGKIN FAKIR...APA TINDAKAN PUSAT ZAKAT....TAK KAN BUAT BODOH AJE....TIPU...CURI DLL DAH JADI TREND CARI DUIT CARA MUDAH...BILA AGAMA JAUH DARI DIPELAJARI...AMAL TENTULAH TIDAK SEBAB TAK BELAJAR...MAKAN REZEKI TAK KIRA LAGI HALAL ATAU TAK...KADANG2 ORANG ADA ILMU PUN SAMA JUGA TAK KIRA HALAL ATAU HARAM...BILA ZAMAN MANUSIA HANYA MEMANDANG DUNIA...HARTA BENDA DARI TAKWA....

Tipu guna nombor Bukit Aman


Ahli sindiket Macau Scam akan membuat panggilan secara rambang untuk mencari mangsa.



KUALA LUMPUR – Kes-kes penipuan tidak pernah surut. Saban hari pasti ada individu yang menjadi mangsa penipuan sama ada oleh sindiket yang berpangkalan dalam negara mahupun di seberang laut.
Pelbagai modus operandi digunakan oleh sindiket-sindiket terbabit untuk meraih wang daripada mangsa-mangsa. Tren paling mudah kebelakangan ini ialah ahli sindiket terbabit membuat panggilan telefon dengan menyamar sama ada sebagai pegawai polis atau pegawai bank.
Macau Scam merupakan salah satu sindiket yang berpangkalan di Taiwan dan Hong Kong, Sindiket itu dikesan paling aktif melakukan penipuan dengan membuat panggilan secara rambang kepada mangsa-mangsa termasuk rakyat negara ini.
Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Supritendan Victor Sanjos berkata, berdasarkan laporan diterima, suspek-suspek yang menyamar sebagai pegawai polis kebiasaannya akan mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap dan boleh ditahan.

Rugi RM10 juta dalam tempoh enam bulan

KUALA LUMPUR – Polis menerima sebanyak 454 laporan berhubung kes panggilan telefon dengan menyamar sama ada sebagai pegawai polis atau pegawai bank dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang melibatkan kerugian mencecah RM10 juta.
Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Supritendan Victor Sanjos berkata, dalam tempoh sama polis menahan seramai 39 orang dan ada dalam kalangan suspek telah dituduh di mahkamah.
“Kegiatan sindiket Macau Scam ini dikesan aktif memperdaya rakyat negara ini sejak tahun 2008. Jumlah laporan diterima pada tahun tersebut sebanyak 21 kes,” kata beliau.
Menurut beliau, jumlah kes tersebut kemudian bertambah pada tahun 2009 sebanyak 333 kes dan pada 2010 sebanyak 1,201 kes.
“Mengikut aduan dalam tempoh dua tahun itu kerugian mangsa-mangsa mencecah RM24 juta,” kata beliau.


Masih menunggu kepulangan Sharlinie



MOHD. NASHAR dan Suraya membelek baju raya Sharlinie yang masih disimpan di Kampung Padang Pulut, Dungun baru-baru ini.



DUNGUN – “Kalaulah Sharlinie ada, dia pasti seronok menyambut Aidilfitri bersama kami sekeluarga.’’ Begitulah rintihan Mohd. Nashar Mat Hussein, 32, yang masih menaruh harapan untuk menemui semula anak ketiganya itu yang hilang sejak 9 Januari 2008.
Katanya, naluri seorang bapa dalam dirinya tetap merasakan kanak-kanak itu yang kini sepatutnya berusia lapan tahun masih hidup.
Malah, baju raya yang dibeli untuk Sharlinie pada tahun 2008 dan 2009 masih disimpan rapi.
Mohd. Nashar yakin bahawa suatu hari nanti Sharlinie akan ditemui semula.
Menurut Mohd. Nashar, dia dan isterinya, Suraya Ahmad, 31, masih diulit rasa sebak setiap kali melihat wajah anaknya terpampang di mana-mana.
“Saya sudah berhenti mencarinya sebab saya sudah tidak tahu ke mana lagi harus mencarinya. Tetapi, kami yakin Sharlinie masih hidup,” kata Mohd. Nashar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut dekat sini baru-baru ini.

Pemandu teksi asing cetus masalah



PERBUATAN warga asing meminjamkan teksi kepada rakan yang tiada permit boleh menjejaskan imej perkhidmatan teksi negara di mata pelancong. – Gambar hiasan



KUALA LUMPUR – Masalah yang melibatkan teksi yang dipandu warga asing didakwa kian meruncing apabila kira-kira 7,200 pemandu di sekitar Lembah Klang terdiri daripada golongan berkenaan.
Jumlah tersebut mewakili 20 peratus daripada kira-kira 36,000 pemandu teksi di seluruh Lembah Klang.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/ Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, walaupun pihaknya percaya majoriti pemandu teksi warga asing itu berstatus Penduduk Tetap (PR) dan memiliki permit, mereka mungkin memajak atau meminjamkan teksi kepada rakan senegara yang tiada permit untuk mencari duit poket.
“Kita bukan sahaja bercakap pasal perbezaan budaya serta imej negara tetapi juga soal keselamatan menaiki teksi yang dibawa oleh pemandu haram.
“Apabila ada segelintir dalam kalangan mereka yang membuat masalah, tempiasnya terkena kepada semua pemandu teksi yang lain,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jelasnya, amalan meminjamkan teksi kepada rakan itu mendorong sesebuah syarikat teksi mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana teksi tersebut beroperasi selama 24 jam sehari, berbeza daripada 12 jam yang disarankan kepada pemandu teksi warga tempatan.

Balai polis dibaling bom petrol



GHEE LYE (kanan) melihat kesan kebakaran akibat bom petrol di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Banda Hilir kelmarin.



MELAKA – Selepas kejadian dibaling bom petrol pada April lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir di sini sekali lagi menjadi sasaran dibaling bom petrol kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.05 malam itu, bom petrol tersebut dikatakan dibaling oleh seorang lelaki yang berjalan kaki.
Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, anggota polis yang bertugas di pondok keselamatan pintu masuk IPD hanya menyedari kejadian tersebut selepas bom petrol itu dibaling kira-kira beberapa meter dari pondok keselamatan.
“Bom petrol itu telah dinyalakan dan pecah serta terbakar selepas terjatuh berhampiran sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di kawasan letak kereta IPD,” kata beliau.
Menurut beliau, kereta Proton Waja tersebut tidak rosak kerana anggota polis yang bertugas sempat memadamkan api tersebut.
Bagaimanapun, pejalan kaki yang dipercayai membalingkan bom petrol itu gagal ditahan walaupun dikejar polis.
“Suspek hilang selepas dia menyusup ke kawasan tumpuan orang ramai tidak jauh dari balai polis,” kata beliau.

Dua beradik dicari kes tembak lembu



KAMARUZZAMAN menunjukkan gambar Suhaimi dan adiknya, Mustaki yang dicari pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.



KUANTAN – Dua beradik dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes menembak mati dua ekor lembu yang dipercayai cuba dicuri di Kampung Tanjung Putus dekat Bukit Rangin di sini kelmarin.
Dua beradik berkenaan ialah Suhaimi Mat Yaacob, 47, yang beralamat di Kampung Cherang Hangus Bekelam, Bachok, Kelantan manakala adiknya, Mustaki Mat Yaacob, 44, dari Kampung Bugis dekat Beserah, Kuantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, kedua-dua beradik itu dicari selepas polis menerima satu aduan daripada penternak lembu berusia 25 tahun yang memaklumkan dua ekor haiwan ternakannya ditembak mati sebelum disyaki cuba dicuri.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 1.30 pagi semalam (kelmarin) dan kebetulan pengadu berada di tempat peliharaan lembunya bagi menghalau kira-kira 25 haiwan yang dilepaskan supaya masuk semula ke kandang.
“Tiba-tiba pengadu mendakwa dia ternampak seekor lembunya telah rebah sebelum dikejutkan pula dengan bunyi satu das tembakan yang disusuli seekor lagi lembunya rebah,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Menurut beliau, pengadu kemudian ternampak dua buah kereta Proton Satria berada di kawasan ladang ternakan lembu miliknya menyebabkan pengadu mengejar kedua-dua buah kereta tersebut.
Pengadu mengejar kereta Proton Satria itu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Turut menemani abang pengadu.
Selepas dikejar kira-kira dua kilometer, salah sebuah daripada kereta Proton Satria itu tiba-tiba mengalami kerosakan.

Kereta tersebut kemudian terbabas ke dalam longkang.
Sebuah lagi kenderaan tidak menghiraukan kereta Proton Satria yang terbabas itu dan terus memecut laju.
“Pengadu kemudian melihat dua lelaki keluar dari kereta tersebut dan melarikan diri meninggalkan keretanya,” kata beliau.

Taman jadi lubuk pelajar ponteng



Tiga remaja perempuan berpakaian sekolah disyaki ponteng dan melepak di Taman Pengkalan Batu, Klang baru-baru ini.



KLANG – Ketika ibu bapa sibuk mencari rezeki, terdapat segelintir anak-anak yang sanggup ponteng sekolah dan melepak membuang masa di Taman Pengkalan Batu di sini.
Gejala tidak bertanggungjawab itu sudah menjadi budaya dan lebih menyedihkan lagi apabila para pelajar itu langsung tidak rasa bersalah walaupun kehadiran mereka mencuri tumpuan orang ramai.
Tinjauan Kosmo! di kawasan itu baru-baru ini mendapati, dua kumpulan pelajar yang terdiri daripada tiga hingga lima orang termasuk beberapa orang perempuan berkeliaran di taman tersebut.
Sebahagian daripada mereka masih berani berpakaian seragam, manakala selebihnya sudah menukar baju biasa terlebih dahulu sebelum pergi ke situ.
Selama hampir tiga jam tinjauan dilakukan, segelintir daripada mereka dilihat menghisap rokok.
Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka menggunakan jalan pintas ke taman terbabit dengan melintasi rel kereta api tanpa menggunakan jejantas yang telah disediakan.
Seorang penduduk taman berdekatan, Sulaiman Mohd. Ismail, 35, mendakwa taman rekreasi tersebut menjadi tempat tumpuan pelajar ponteng.

Budak mangsa asid ingin baju kurung hijau



NURUL DAHYATUL (tiga dari kiri) bersama ibu dan adik-beradiknya selepas menziarahi bapanya di Penjara Marang, Marang semalam.



HULU TERENGGANU – Kanak-kanak mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, merayu agar bapanya membelikannya sepasang baju kurung hijau corak batik dan upah RM50 kerana berpuasa penuh pada tahun ini.
Permintaan tersebut diluahkannya semasa melawat bapanya, Mat Haizan Mat Yasin, 34, yang menjalani hukuman penjara 10 tahun di Penjara Marang kerana menyimbah asid pada ahli keluarganya sendiri Ogos tahun lalu.
Menurut ibu kanak-kanak itu, Che Ku Huzaimah Che Ku Awang, 29, bekas suaminya itu hanya menahan sebak kerana tidak dapat menunaikan permintaan anaknya yang lebih mesra dipanggil Lin itu.
“Sebaliknya, dia menyuruh Lin supaya meminta apa yang diinginkannya kepada saya.
“Hati saya sedih apabila mendengar Lin cakap macam itu sedangkan dia tahu abahnya tidak boleh tunaikan permintaannya,” kata Che Ku Huzaimah ketika ditemui di rumahnya di kampung Sekayu dekat sini baru-baru ini.
Sementara itu, Lin yang merupakan anak kedua daripada empat beradik memberitahu, dia tetap rindukan bapanya walaupun lelaki tersebut bertanggungjawab mencederakan mukanya dengan asid.

Peniaga jual asid perlu daftar

KUALA LUMPUR – Para peniaga yang menjual asid wajib didaftarkan supaya ia dapat direkodkan bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan sekiranya bahan kimia itu digunakan bagi tujuan jenayah.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh (gambar) menggesa peraturan baharu dikuatkuasakan memandangkan orang ramai boleh membelinya dengan mudah di premis- premis menjual perkakasan dan kedai runcit.
“Setiap butir diri pembeli, alamat dan tujuan kegunaan asid tersebut harus direkodkan oleh peniaga. Melalui cara ini, pihak berkuasa boleh mengesan penyalahgunaan,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kes mangsa simbahan asid termasuk kes terbaharu melibatkan Mohd. Rafi Abdul Latiff, 28, baru-baru ini.

Malu punca tidak balik raya

KUALA LUMPUR – “Bukan saya tidak mahu balik beraya di kampung tetapi kerana tiada wang hendak beli tiket serta malu, baik tidak payah balik.”
Itu alasan Marzuki Ali, 37, yang kini hidup sebagai insan gelandangan di ibu kota ketika ditanya kenapa dia tidak menyambut hari lebaran di kampung halaman.
Menurutnya, dia tidak mahu pulang ke kampungnya di Bachok, Kelantan kerana dia hidup sebatang kara selepas kematian isterinya akibat sakit paru-paru pada tahun 2004.
Selepas itu, dia bekerja sebagai tukang paip di sebuah syarikat swasta di Shah Alam tetapi sikap majikan yang suka menindas pula menyebabkan dia berhenti dan berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Saya datang Kuala Lumpur pun kerana sudah tiada tempat lain yang boleh saya pergi. Duit tiada, malah hendak hubungi ahli keluarga yang lain pula takut menyusahkan mereka.
“Sudah lebih dari sebulan saya hidup merempat dan menerima bantuan makanan daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta makan percuma di masjid, terutamanya pada bulan Ramadan,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Marzuki merupakan salah seorang daripada belasan orang gelandangan yang merempat di kawasan sekitar Masjid Negara dan Kompleks Dayabumi.
Mereka menjadikan siar kaki dan pondok perhentian bas sebagai tempat tinggal mereka.
Menurut seorang lelaki yang hidup gelandangan, Mukhris Harun, 52, hari raya sudah tidak bermakna lagi kepadanya sejak isterinya meninggal dunia lima tahun lalu.

Ubat tiruan kian berleluasa



SEBAHAGIAN ubat tiruan yang dirampas oleh Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan di ibu negara baru-baru ini.



KUALA LUMPUR – Senario penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar atau tiruan di pasaran cukup membimbangkan pengguna di negara ini.
Buktinya sepanjang tahun lalu Kementerian Kesihatan merampas sebanyak 12,408 ubat tersebut dengan nilai hampir RM20 juta.
Antara ubat-ubatan itu ialah pelangsing badan, perangsang seks, pemutih kulit serta beberapa ubat berjenama palsu termasuk ubat demam, batuk, dan minyak angin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman menjelaskan, jumlah rampasan itu merupakan yang tertinggi sejak dua tahun kebelakangan ini ekoran permintaan daripada pengguna, sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab selain peranan sindiket terancang.
“Kita dapati kewujudan ubat seperti ini juga disebabkan oleh pengaruh gaya hidup orang ramai, contohnya mahu kurus dengan cepat serta mempunyai kekuatan seks tanpa memikirkan kesan sampingan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tulang kuda, pedati 3,000 tahun ditemui


LIMA pedati kayu dan 12 rangka tulang kuda ditemui di dalam sebuah makam di Luoyang, China.



LUOYANG, China – Beberapa ahli arkeologi telah menemui rangka tulang kuda dan pedati kayu di sebuah makam Dinasti Zhou di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Usia rangka tulang kuda dan pedati itu dipercayai hampir 3,000 tahun.
Sebanyak lima pedati kayu dan 12 rangka tulang ditemui di dalam makam tersebut.
Ahli-ahli arkeologi percaya makam itu milik seorang pegawai terkenal pada zaman itu. – Agensi





Hadis Ke Tiga Puluh Tiga : -


ISLAM NAMA SAHAJA



H.R. AL-BAIHAQI




Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".




Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.


Hadis Ke Tiga Puluh Lapan : -


BERMEGAH-MEGAH DENGAN MASJID


H.R. ABU DAUD


Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid".




Di antara tanda hampirnya hari qiamat, ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang mereka bina. Masing-masing negara berbangga dan merasa megah dengan bangunan masjid.

Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah. Banyak masjid-masjid yang indah, besar dan cantik, tetapi yang datang bersembahyang di dalamnya hanya segelintir manusia sahaja.



Hadis Kelapan : -


PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU


H.R.HAKIM



Daripada Abu Hurairah ra katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok 
(2) terlalu mewah 
(3) menghimpun harta sebanyak mungkin 
(4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia 
5) saling memarahi 
(6) hasud menghasud sehingga zalim menzalim".


Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum Muslimin di hari ini.

Disana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam di landa krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyak nya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya.

Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!!!!!




Hadis Kesepuluh : -


BAHAYA KEMEWAHAN


H.R. TIRMIZI



Daripada Ali Bin Abi Thalib ra ;"Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab Bin Umair ra dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi SAW bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".


Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi-petang pakaian bersilih ganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Dimana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad SAW mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang itu dari berbuat ibadat kepada Allah SWT, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari membuat ibadat. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak harta lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW, "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Oleh itu, janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan.

Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak.

Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.



Hadis Keduabelas : -


SIFAT AMANAH AKAN HILANG SEDIKIT DEMI SEDIKIT


H.R. BUKHARI MUSLIM


Daripada Huzaifah bin Al-Yaman ra katanya :"Rasulullah SAW pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah SAW memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu baginda bersabda, "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (menggelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilingkan dengan kaki mu, kemudian menggelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa". Di ketika Rasulullah SAW menceritakan hadis ini baginda mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) lalu menggilingkannya dengan kaki baginda.

"Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, "Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekalipun hanya seberat timbangan biji sawi".



"Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak memperdulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermuhaya'ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepada ku (maksud agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau dia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan mengembalikannya kepada ku (maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan/pemerintahlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya). Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)".



Hadis ini menunjukkan bahawa sifata amanah akan hilang secara beransur-ansur dari kalangan kaum Muslimin, sehinggalah sampai suatu saat nanti orang yang dianggap baik untuk menjaga amanah pun telah khianat juga.

Begitulah gambaran masyarakat kita hari ini. Ramai daripada kita terpedaya oleh seseorang yang pada zahirnya nampak boleh memikul amanah, tetapi sebenarnya ia juga telah berlaku curang.



Hadis Ketigabelas : -



ORANG YANG BAIK BERKURANGAN SEDANG
YANG JAHAT BERTAMBAH BANYAK



H.R. THABRANI


Daripada Aisyah ra berkata : "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik".




Diantara tanda-tanda kiamat ialah : -

1. Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.

2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.

3. Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.

4. Orang yang berbuat baik sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.

5. Anak-anak sudah berani melawan orang tua.

6. Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang baik dan tidak segan terhadap mereka.



Nampaknya corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya dari apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tadi. Setiap hari kita melihat kebenaran daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

Kita berdoa, mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita dan anak cucu kita dari tergolong di kalangan mereka yang disebutkan tadi.



Hadis Kelima belas : -


DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI NERAKA


H.R. MUSLIM


Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda:"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. 
Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. 
Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya".




Kebenaran sabdaan Rasulullah SAW ini dapat kita lihat dari realiti mayarakat yng ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal-siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, hendak kata bertelanjang pun boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Ataupun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar, seperti goh unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.



Hadis Keenam belas : -


ZAMAN DI MANA ORANG TIDAK PEDULIKAN
DARI MANA MENDAPATKAN HARTA



H.R. NASAK (nun..sim..alif.hamzah)



Daripada Abu Hurairah ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW : "Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram."





Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisme, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin kekayaan. mereka tidak memperdulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu atau pun untuk melayan kehendak isteri atau anak-anak mereka.

YANG JUTAWAN BANTULAH..JANGAN BUAT BODOH JE...YANG KITA BERI TU HAK KITA DIAKHIRAT...KALAU TAK BAGI ...SIMPAN SAJA...ITU BUKAN HAK KITA...KALAU BODOH JANGAN TIUNJUK KITA BODOH...MALU...NAMPAK TAK MENADAH KITAB...INGAT2LAH MATI...DUIT JUTA2 BUKAN BOLEH BAWA MATI...TAK KAN TAK TAHU....NAFSU TAK KENAL SAPE...TU SEBAB LAKSANAKAN HUKUM ALLAH...JANGAN BUAT BODOH GAK...NAMPAK SANGAT TAKUT PADA MANUSIA...GAN ALLAH TAK TAKUT...NI PUN SATU BODOH LAGI...MENGAJI KAT SURAU MASJID...MALAS...

Tiga anggota polis ditahan

Oleh Na’imah Mohamed
na’imah@hmetro.com.my

SENTUL: Tiga anggota polis antara enam yang ditahan berhubung kejadian melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pelajar kolej swasta dalam pergaduhan di luar sebuah pub di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penahanan tiga anggota polis terbabit dan berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan berpangkat koperal dan lans koperal.

“Dua daripada mereka bertugas di Bukit Aman manakala seorang lagi di Selangor,” katanya. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, empat lelaki keluar dari sebuah pub sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki memecahkan cermin di pintu belakang pemandu menggunakan sebatang besi.
Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit, empat lelaki yang berada di dalam kereta berkenaan keluar dan menyerang lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, selepas beberapa minit bergaduh, lelaki yang memecahkan cermin kereta itu cuba melarikan diri dan pada ketika itulah kedengaran bunyi tembakan dilepaskan.

“Mangsa, pelajar kolej swasta berusia 23 tahun, cedera di kaki dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Kami masih menyiasat motif serta punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan mereka mengenali satu sama lain” katanya.

Menurutnya lagi, polis forensik menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Majikan kurung amah seminggu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung sejak seminggu lalu dan hanya diberikan makan mi segera berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pandan Indah, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa warga Kemboja berusia 18 tahun itu mula bekerja di rumah terbabit sejak tiga bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar, malah dia tidak dibekalkan kunci rumah atau nombor telefon majikannya untuk tujuan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes dera pembantu rumah.
Katanya, selepas tiba di rumah itu, pihaknya mendapati rumah berkenaan dikunci dan hanya dapat berinteraksi dengan mangsa melalui tingkap belakang. “Anggota polis meminta nombor telefon majikan daripada mangsa, tetapi dia tidak mempunyainya dan kami terpaksa memecahkan pintu depan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selepas disoal siasat, mangsa mendakwa dikurung di rumah sejak seminggu lalu dan majikannya keluar untuk tempoh berkenaan.

“Dia hanya diberikan makan mi segera dan kadang-kala jiran akan memberikannya makanan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun dia dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Amiruddin berkata, pihaknya sedang menjejaki majikan mangsa untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah.
Menurutnya, siasatan lanjut juga sedang dijalankan mengenai rumah yang dijadikan tempat untuk menyembunyikan mangsa.

Katanya, mangsa dihantar ke pejabat Kedutaan Kemboja untuk perlindungan sementara.

Bergasak atas pusara

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Ketibaan 1 Syawal sepatutnya menjadi saat untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim, namun lain pula yang terjadi kepada seorang wanita apabila menjadi mangsa belasahan abang kandung.
Lebih memilukan, kejadian itu berlaku di tanah perkuburan di Bayan Lepas, dekat sini, ketika wanita itu menziarah pusara ibu bapa mereka pada pagi Aidilfitri lalu.

Insiden mengaibkan itu dikatakan berlaku apabila abang kandung wanita berkenaan naik angin selepas ditegur mengenai tunggakan pinjaman pengajian anak lelakinya dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dijamin suami wanita terbabit yang tertunggak sebanyak RM26,000.

Tidak puas hati dengan teguran wanita berkenaan dan suaminya itu menyebabkan lelaki terbabit yang juga bekas pegawai kanan pasukan keselamatan bertindak di luar batasan.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Maimunah, 47, berkata, kejadian berlaku jam 11.45 pagi ketika dia bersama keluarganya mahu meninggalkan tanah perkuburan berkenaan selepas menziarahi pusara ibu bapa mereka.

‘Kenangan terindah ditinggalkan arwah’



SENTUL: “Surat penghargaan ini kenangan terindah ditinggalkan arwah untuk kami,” begitu kata Fauziah Ahmad Alwi, balu kepada Allahyarham Shariff Din yang mati ditikam ketika cuba memberkas penjenayah yang cuba mencuri kereta di perumahan mereka di PPR Taman Wahyu Dua, di sini, 28 Ogos lalu.
Fauziah menerima surat penghargaan itu daripada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan dalam satu majlis ringkas di kediaman mereka, di sini, semalam.

Fauziah, 50, berkata dia dan empat anaknya, Shasha Zafira, 23, Natasha Nadiah, 21, Ahmad Fariz, 20, dan Amirudin Fasha Shariff, 19, kini lebih tenang selepas penangkapan individu bertanggungjawab membunuh suaminya.
“Kami sekeluarga bukan saja reda pemergiannya, malah berbangga dengan tindakannya pada hari kejadian.

“Bagaimanapun, saya akui, kami agak trauma dengan kejadian itu dan berhajat berpindah ke tempat lain kerana khuatir ia berulang,” katanya.

Menceritakan saat terakhir bersama arwah suaminya, Fauziah berkata, suaminya begitu beriya-iya mahu pulang ke kampungnya di Parit Buntar, Perak, sempena Aidilfitri dan mereka merancang untuk pulang keesokan harinya.

“Namun, Tuhan lebih sayangkannya dan kami tidak sempat menyambut hari lebaran bersama,” katanya lagi.

Menurut Fauziah, arwah sentiasa mengimpikan ada antara anak mereka menyertai mana-mana pasukan beruniform supaya dapat berkhidmat untuk negara.
Sementara itu, Zakaria yang turut diiringi Timbalannya, Superintendan Othman Abu Bakar serta beberapa pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyampaikan surat penghargaan atas keberanian serta sedikit sumbangan sempena Aidilfitri kepada keluarga mangsa.

Zakaria berkata, tindakan pantas dan berani Allahyarham berjaya mematahkan cubaan suspek untuk melarikan kenderaan berkenaan. “Kegigihan serta keberanian Allahyarham patut dicontohi masyarakat dan diharap sikap seperti ini dapat dipupuk di kalangan orang awam agar keselamatan kita lebih terjamin,” katanya.

Zakaria turut menggalakkan anak mangsa menyertai pasukan polis atau mana-mana pasukan keselamatan dan berpesan jangan sesekali patah semangat bagi merealisasikan impian Allahyarham.

300 temui ajal setiap hari



MOGADISHU: Kematian penghuni kem penempatan rakyat Somalia yang sengsara akibat kebuluran meningkat setiap hari dan jumlah kematian di kem berkenaan dianggarkan mencecah 300 orang sehari.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Somalia, Duale Adam Mohamed Zen berkata, kekurangan ubat dan vaksin serta pakar perubatan menjadi penyebab utama kematian kebanyakan penghuni kem penempatan dalaman (IDPs).

Katanya, di Somalia ada tidak sampai 300 doktor dan di Mogadishu pula tidak lebih 100 orang, malah keadaan diburukkan dengan kemudahan serta ubatan tidak mencukupi.
“Masalah utama kami membantu rakyat Somalia terutama kanak-kanak dan wanita yang sakit disebabkan kurang zat serta vitamin adalah tidak cukup kepakaran serta kemudahan dalam bidang perubatan.

“Bantuan bekalan ubatan memang diterima daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan mereka sentiasa memantau kami, namun itu tidak mencukupi kerana kami masih kekurangan pakar perubatan untuk merawat jutaan rakyat kami yang menderita,” katanya ketika menerima kunjungan hormat kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau cukup gembira dengan kehadiran kumpulan misi bagi membantu rakyat Somalia yang turut menderita akibat perang saudara berpanjangan sejak lebih 20 tahun lalu.

Tidak mampu beli kain kafan



MOGADISHU: Selepas menderita lebih tujuh bulan akibat tiada makanan, seorang wanita penghuni kem penempatan rakyat Somalia yang kebuluran, Safiyya Hummu Izaq, 40, meninggal dunia dalam khemahnya di sini petang, semalam.
Lebih menyayat hati, wanita malang yang mempunyai tiga anak kecil itu menghembus nafas terakhir hanya selepas dua anaknya yang berusia satu dan tiga tahun meninggal dunia Selasa lalu juga disebabkan kebuluran dan kurang nutrisi.

Menurut adik perempuannya, Farlamu Izaq, 30, mereka terlalu miskin hingga tidak mampu menguruskan jenazah dengan sempurna termasuk untuk membeli kain kafan.
Katanya, mereka berasal dari Wilayah Baidawo yang terletak 300 kilometer tenggara Mogadishu selepas kampung halaman mereka kering kontang akibat kemarau panjang.

Farlamu berkata, arwah kakaknya terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu disebabkan tiada makanan dan dijangkiti penyakit menyebabkan dia sering cirit-birit sehingga menghembuskan nafas terakhir, semalam.

“Seorang demi seorang ahli keluarga kami meninggal dunia akibat kebuluran dan tidak tahu apa nasib kami pula selepas ini kerana keadaan masih tidak berubah. “Kampung kami terjejas teruk akibat kemarau panjang hingga tidak boleh bercucuk tanam atau menternak kambing dan lebih sukar, bantuan daripada mana-mana pihak tidak sampai ke tempat kami.

“Semua penduduk kemudian berpindah ke ibu negara bagi mendapatkan bantuan dan kami sudah lebih tiga bulan menghuni kem penempatan kem penempatan dalaman (IDPs), Maalin ini,” katanya yang ditemui ketika menjaga jenazah kakaknya.

Difahamkan, di Kem Maalin yang mempunyai 1,400 penghuni, setiap hari dua hingga lima penghuninya mati akibat pelbagai penyakit.
Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia, yang tiba 10 minit selepas wanita malang itu meninggal dunia, turut bersimpati serta menziarahi jenazah mangsa di khemahnya. Selain itu, Presiden Kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga mendermakan wang tunai kepada keluarga mangsa untuk menguruskan jenazah Safiyya.

Patah tulang rahang dibelasah penyamun

TAMPIN: Taktik licik seorang penyamun kononnya datang untuk beraya membawa malang berganda kepada seorang wanita warga emas apabila dia bukan saja disamun, malah patah tulang rahang akibat dibelasah di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, di sini, petang kelmarin.
Malah, kemeriahan menyambut Syawal bertukar mimpi ngeri buat mangsa apabila mengalami kerugian RM10,000 kerana disamun lelaki tidak dikenalinya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, wanita warga emas berusia 73 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya, didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengetuk pintu rumahnya sambil memberi salam dan memberitahu datang untuk beraya.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa yang juga ibu tunggal itu kemudian membuka pintu untuk melihat tetamu yang datang ke rumahnya.

“Bagaimanapun, sebaik membuka pintu, lelaki itu terus membelasah mangsa menggunakan topi keledar menyebabkan wanita warga emas itu cedera.

“Suspek kemudian meragut rantai leher dipakai warga emas itu sebelum menyelongkar bilik tidur bagi mencari barang kemas dan wang yang tersimpan di bawah katil,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik mengambil semua barang kemas dan wang mangsa dianggarkan bernilai lebih RM10,000, suspek berbadan kecil itu terus keluar dipercayai menggunakan motosikal meninggalkan mangsa dalam keadaan kesakitan.

Katanya, mangsa yang cedera di kepala, bengkak di dahi dan patah tulang rahang itu meminta pertolongan jiran mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan,” katanya.

Mayat tersepit celah batu



KUANTAN: Sekumpulan remaja yang berkelah di Sungai Mas, Perkampungan Orang Asli, Sungai Lembing, di sini, kira-kira jam 2 petang kelmarin, terkejut apabila menemui mayat seorang gadis tersepit di celah batu.
Sebelum kejadian, remaja terbabit sedang berkelah sambil menikmati hidangan tengah hari dan secara tidak sengaja terpandang objek di celah batu lalu memberanikan diri membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, belum sempat menghampiri objek itu, seorang daripada remaja terbabit mengecam objek itu adalah mayat sebelum menghubungi Balai Polis Panching untuk meminta bantuan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sepasukan anggota polis bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bergegas ke tempat kejadian dan mengangkat mayat itu naik ke tebing.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dalam poket seluar mayat gadis terbabit yang berusia 20-an sebelum mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan mendapati, mayat gadis terbabit berambut keperangan paras bahu lengkap memakai baju T berwarna putih jenama Polo serta berseluar jeans berwarna biru gelap.

“Mayat gadis itu yang berkulit sawo matang ditemui masih sempurna selepas 12 jam berada dalam air namun polis tidak dapat memastikan bangsa sebenar gadis terbabit kerana bedah siasat masih belum dijalankan lagi.

“Hasil pemeriksaan awal, tiada sebarang kecederaan atau luka ditemui pada tubuh mangsa namun bedah siasat akan dijalankan pada petang ini (Sabtu) bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sehingga kini, polis masih belum menerima laporan terbaru kehilangan orang awam namun akan membuka serta menyemak semula laporan orang hilang sebelum ini bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Katanya, sehingga kini, polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut namun akan menukarkan semula seksyen jika penemuan mayat gadis berkenaan terdapat perbuatan berunsur jenayah.

Kamaruzzaman berkata, polis meminta orang ramai kehilangan ahli keluarga tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan T Murugesu di talian 012-9003661.

40 lelaki mengamuk



KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah bukan saja trauma selepas rumahnya diceroboh dan dipecahkan lebih 40 lelaki yang menggelar diri mereka sebagai anggota ‘sukarelawan’ malah dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat kejadian itu.
Difahamkan, ketika kejadian jam 12.15 pagi kelmarin, mangsa V Revathy, 25, tidur bersama anak lelakinya berumur lapan tahun manakala abang iparnya, P Munumasamy, 27, pula tidur di bilik berasingan di rumah mereka di Taman Sempadan, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Katanya, dia terkejut selepas mendengar bunyi pintu rumah mereka dipecahkan dan nampak lebih 40 lelaki memakai ves di ruang tamu rumah dengan memegang rod besi dan kayu.
“Mereka memecahkan dinding, siling dan perabot di rumah sebelum menyerang abang ipar yang tidur.

“Apabila saya cuba menghalang, mereka mendakwa ‘sukarelawan’ tanpa pakaian seragam yang mempunyai kuasa mutlak untuk menahan sesiapa saja mahupun dengan memecah masuk ke rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Beliau hadir bersama Presiden Pasukan Bertindak Alternatif, Kalai Vanar untuk menyerahkan memorandum agar polis mengambil tindakan segera untuk menahan suspek yang memecah masuk ke rumah mangsa.

Menurut Revathy, kumpulan itu juga membelasah abang iparnya sehingga cedera parah dan mendakwa dia memecah masuk kereta di kawasan berdekatan pusat judi haram yang ‘dijaga’ kumpulan berkenaan.

“Setahu saya, abang ipar hanya di rumah sejak pagi pada hari kejadian dan meskipun dia ada membuat sesuatu di luar, mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak ganas sehingga memecahkan barangan di rumah.
Susulan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Nibong Tebal kerana risau dengan tindakan ganas kumpulan sukarelawan itu. Sementara itu, Kalai berkata, selepas mendapat tahu polis belum mengambil sebarang rakaman gambar mengenai lokasi kejadian sehingga tempoh 36 jam, dia membuat rakaman video kerosakan di rumah mangsa sebelum melampirkan bersama-sama dengan memorandum, semalam.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai Bahagian Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Foo Chek Seng.

Nafsu tidak kenal siapa

Oleh Azmizan Mohd Samiran

TANGGAL 22 Ramadan lalu menyaksikan seorang lagi bayi luar nikah dilahirkan. Seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun di sebuah sekolah agama di Tumpat, Kelantan, dipercayai melahirkan bayi itu di dalam tandas sebelum membawanya ke bilik asrama sekolah.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari seorang pekerja sekolah berkenaan yang terdengar tangisan bayi sebelum memanggil rakan memeriksa bilik asrama sebelum menemui bayi lelaki yang masih bertali pusat di atas katil bersama ibunya.

Pelajar terbabit dikatakan pernah mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, tetapi dia mendakwa hanya senggugut.

Barangkali, ada yang terkejut dengan berita itu. Hakikatnya ramai tidak terkejut kerana sudah berlambak kes melahirkan anak luar nikah sehingga tidak lagi menyentuh hati nurani.


Bagaimanapun, di sebalik kejadian berkenaan, kita mampu menarik nafas lega apabila bayi dilahirkan selamat tanpa dibuang, ditinggalkan di depan pintu rumah, masjid atau surau. Jika tidak, semakin bertambah jumlah kes pembuangan bayi.

Sukar untuk dibuat kesimpulan bagaimana pelajar itu menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan sesiapa, termasuk ibu bapanya.

Bukan pelajar itu saja, banyak lagi kes membabitkan kelahiran anak luar nikah bermula dan berakhir dengan ‘jayanya’ apabila kehamilan berjaya disembunyikan.

Penulis ada pengalaman menemu bual seorang remaja berusia 16 tahun yang berjaya menyembunyikan kehamilannya. Hanya tinggal beberapa minggu hendak melahirkan bayi luar nikah dikandung, barulah ibu bapanya sedar anak kesayangan mereka mengandung.

Ditanya bagaimana dia menyembunyikan kehamilannya, jawapan diberi mudah - buat selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dan memakai pakaian bersaiz besar bagi menyembunyikan perut yang semakin membesar. Pada masa sama dia memberitahu, badannya yang kecil dan kurus memudahkannya menyembunyikan kehamilan.

Mujur, ibu bapanya ‘bangkit daripada lena’ selepas mengesyaki ada yang tidak kena dengan anak mereka yang semakin lama kelihatan letih dan tidak bermaya sebelum mendesak supaya diceritakan apa sebenarnya berlaku.

Memanglah nasi sudah menjadi bubur, tetapi sekurang-kurangnya apabila mengetahui anak mengandung luar nikah, perhatian perlu diberikan bagi mengelak tindakan di luar kawalan seperti membuang bayi yang dilahirkan.

Justeru, ibu bapa seharusnya jangan alpa. Menjaga anak zaman sekarang perlukan ketelitian dan manfaatkan sepenuhnya kuasa ‘veto’ yang ada bagi mengesan sebarang perubahan pada anak.

Bukan sesuatu yang mustahil, anak yang dididik dengan ajaran agama, dihantar ke sekolah agama dan diberikan kasih sayang secukupnya boleh terjebak dalam kancah hamil luar nikah.

Lambakan kes hamil luar nikah seharusnya memberi kesedaran kepada ibu bapa betapa nafsu itu tidak mengenal sesiapa.

Betapa tidak, berdasarkan statistik, sejumlah 235,000 bayi atau sembilan peratus daripada keseluruhan 2.48 juta kelahiran yang didaftarkan antara 2006 hingga 2010 adalah bayi luar nikah dan daripada jumlah itu, 34.5 peratus atau 81,000 adalah Islam.

Malah, kelahiran bayi luar nikah itu terus meningkat apabila pada 2006, jumlahnya 38,300 orang manakala pada 2010 pula 53,000 orang, meningkat 38 peratus dengan 17,000 orang adalah Islam.

Memetik kata-kata Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, jangan terlalu percayakan dan sayang anak membuta tuli kerana apabila berlaku perkara tidak diingini nanti menyesal tak sudah.

Seperkara lagi Yahya turut menegaskan kesilapan ibu bapa yang menerima konsep berdua-duaan dan bercinta sebagai satu budaya yang membuka jalan kepada perlakuan seks.

“Mereka (ibu bapa) seolah-olah membuka jalan kepada anak untuk berbuat demikian. Bukan saja membenarkan mereka bercinta, malah tidak kisah jika anak itu mahu berdua-duaan.

“Jika ibu bapa tidak mengendahkan perbuatan anak mereka, ia secara tidak langsung mendedahkan anak terbabit kepada gejala negatif,” katanya.

Selain peranan ibu bapa, Yahya turut mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.

“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.

“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada mereka terbabit dengan gejala negatif itu. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya.

Sememangnya hukuman satu pendekatan berkesan yang boleh dipraktikkan. Pelaku seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah sudah lama diberi ‘muka’ sehingga tiada perasaan takut untuk orang lain melakukan perbuatan sama.

Dalam fikiran mereka, tiada masalah jika terbabit seks bebas kerana tiada apa-apa tindakan dikenakan. Apa yang perlu dilalui hanyalah menanggung malu sehingga bukan lagi satu keanehan apabila media melaporkan ada wanita berulang kali hamil anak luar nikah.

Kebiasaannya yang menanggung beban adalah wanita, manakala si ‘jantan jongos’ yang bertanggungjawab membuntingkan mangsanya, kebanyakannya ‘lepas tangan’ dan hilang begitu saja.

Sebab itu, kita setuju dengan saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu lelaki atau pasangan yang menjadi punca kepada wanita hamil luar nikah turut bertanggungjawab.

“Apabila timbul masalah ini (anak luar nikah), yang dipersalahkan hanya wanita. Saya nak tanya, siapa bapanya (anak luar nikah itu), di mana mereka...jangan hanya salahkan wanita.

“Jangan lepas tangan sehingga wanita saja yang menanggung derita. Sebab itu apabila berlaku masalah seperti ini, lelaki yang menjadi punca perlu turut dicari dan bertanggungjawab terhadap apa dilakukan,” katanya.

Kita sudah melihat wanita yang terbabit dalam kes pembuangan bayi menerima hukuman, tetapi lelaki yang terbabit dalam kes kehamilan luar nikah tersenyum lebar kerana mereka ada beberapa pilihan seperti melarikan diri atau mengahwini mangsa.

Justeru, lakukanlah sesuatu supaya timbul perasaan gerun. Bukan saja kepada lelaki, tetapi si wanita juga perlu dihukum sama sebagai satu pengajaran yang boleh dikenang sampai bila-bila.

Jika berlaku kes hamil luar nikah, dedahkan segera tindakan yang bakal diambil. Mengambil contoh kes pelajar berusia 18 tahun yang melahirkan anak luar nikah di sekolahnya di Tumpat, Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Tumpat segera membuka kertas siasatan.

Pegawai Agama Tumpat, Mohd Naim Ghazali, berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada pelajar berusia 18 tahun itu dan pihak sekolah.

Katanya, jika diperlukan, pihak jabatan akan turut mengambil keterangan daripada ibu bapanya bagi melancarkan siasatan kes itu.

“Jika sabit kesalahan, pelajar perempuan itu boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985,” katanya.

Kepada pihak berkuasa, jangan takut untuk mendedahkan kerja yang dilakukan kerana ia bukan soal menunjuk-nunjuk, tetapi ia satu tugas mulia yang perlu dilaksanakan. Biar ia jadi pengajaran supaya sesiapa yang kini sudah ada bibit-bibit ke arah pelakuan seks bebas, sedar diri.


Penulis Ketua Biro Harian Metro Kelantan