Saturday, May 5, 2012

TUTUPLAH TOL2...KATA DULU DAN UTAMAKAN RAKYAT...TIADA HUKUM HUDUD... SEX HARAM TAK DAPAT DIBENDUNG

Suspek kes ragut mati, rakannya cedera parah

5 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Seorang suspek kes ragut mati manakala rakannya cedera parah selepas mereka terbabas dan terpelanting ke arah sebuah van ketika cuba melarikan diri setelah meragut seorang wanita di sebuah restoran di Jalan Batu 3 1/2, Cheras di sini awal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.25 pagi itu, suspek pertama berumur 19 tahun merampas beg tangan seorang wanita warga Singapura yang sedang makan di restoran dan cuba melarikan diri dengan membonceng motosikal dipandu suspek kedua berumur 18 tahun.
Seorang saksi yang berada di dalam keretanya tidak jauh dari tempat kejadian bertindak mengejar kedua-dua suspek itu sejauh 250 meter dengan kenderaan sebelum terlanggar belakang motosikal suspek mengakibatkan kenderaan itu terbabas dan suspek terpelanting ke arah van yang terletak di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh memebritahu Bernama, kedua-dua suspek warga tempatan itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan akibat cedera parah di bahagian badan dan patah kaki.
Katanya, suspek berumur 18 tahun yang cedera parah di beberapa bahagian badan itu meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi.
"Dia mati mengejut namun polis akan menyiasat dan menunggu keputusan bedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian. Seorang lagi suspek masih dirawat di pusat perubatan berkenaan," katanya.
Mohan Singh berkata suspek akan direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun.
Beliau berkata kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala mangsa ragut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dan mendapatkan balik beg tangannya yang diragut. - Bernama
8 pelajar diserang histeria
Azura Mohamad
5 Mei 2012
8 pelajar diserang histeria
Keadaan di kawasan lokasi perkhemahan lapan pelajar yang diserang histeria
PASIR MAS – Lapan pelajar perempuan sekolah menengah dari sebuah daerah yang menyertai perkhemahan di satu kawasan di sini beberapa hari lalu diserang histeria kelmarin.

Sinar Harian difahamkan kejadian berlaku serentak malam kelmarin memaksa pihak sekolah menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional atau pun bomoh bagi menenteramkan pelajar terlibat.

Pelajar-pelajar ini menjerit, meracau serta memberitahu takut dengan makhluk halus yang dikatakan datang mengganggunya. Salah seorang daripadanya menangis kerana takut serta bimbang kejadian serupa berulang. Beberapa pelajar kembali pulih setelah mendapatkan rawatan daripada bomoh sementara serangan ke atas sebahagian daripadanya berlarutan hingga ke tengah hari semalam. Berikutan kejadian itu, ibu bapa pelajar yang diserang histeria datang melihat keadaan anak masing-masing.

Seorang pelajar yang belum pulihkan walaupun diberikan rawatan dibawa keluarganya pulang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa pelajar terlibat datang mengambil anak mereka sementara pelajar yang mengikuti perkhemahan ini pulang dengan menaiki bas.

Pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Rohana berkata, dia diberitahu tentang kejadian pagi semalam dan sempat mengubati tiga pelajar. Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian dia dapat melihat keadaan pelajar yang terkena serangan histeria. “Saya mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk merawat pelajar terlibat. “Alhamdulillah selepas menerima rawatan, kesemua pelajar kembali pulih,” katanya.

Rohana berkata, pelajar-pelajar ini terkena serangan makhluk halus dan kemungkinan tempat perkhemahan ini merupakan kawasannya.

Menurutnya, dia mengubati pelajar-pelajar ini dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sinar Harian difahamkan, lokasi perkhemahan sering kali menjadi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti tetapi kejadian kelmarin merupakan yang pertama berlaku di sini.
Seorang remaja maut dipanah petir, dua parah
RUBIAH OMAR
5 Mei 2012
Seorang remaja maut, dua parah
mayat mngsa diusung untuk dibawa ke HSNZ, Kuala Terengganu, semalam
KUALA TERENGGANU – Keseronokan memancing bertukar tragedi apabila seorang remaja maut manakala dua lagi rakannya cedera parah dipanah petir ketika melakukan aktiviti itu di Pantai Teluk Ketapang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Mohd Ismuazam Mohd Jaafar, 18, dari Taman Desa Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) Chendering maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya Mohd Ikhwan Nawawi Abdullah, 18, serta Mohd Fharal Adzaana, 26, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ibu mangsa, Norhayati Mamat, 42, berkata, arwah anaknya itu meninggalkan rumah kira-kira jam 3 petang dengan menunggang motosikal milik bapanya untuk pergi memancing. “Arwah memang minat memancing dan hari ini, arwah begitu beria-ia sehinggakan dari pagi lagi dia asyik memperingatkan kepada saya dan ayahnya untuk meminjam motosikal bagi membolehkannya pergi memancing.
“Malah, sebelum arwah meninggalkan rumah, dia merenung wajah saya seolah-olah ada sesuatu yang hendak diperkatakan, dalam nada bergurau arwah sempat berkata ‘adakah saya ingin bergaduh dengannya’,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Norhayati berkata, dia tidak tahu arwah anaknya itu datang memancing di pantai berkenaan kerana sebelum itu, arwah memberitahu yang dia akan memancing di Marang bersama lima lagi rakannya. “Saya hanya tahu arwah berada di sini selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anak saya memaklumkan kejadian ini kira-kira jam 4.30 petang sebelum kami semua bergegas ke sini,” katanya dalam nada sayu.

Sementara itu, rakan mangsa yang terselamat, Mohd Arif Hanafi, 22, dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini, berkata, mereka memilih lokasi benteng pemecah ombak berbatu di pantai itu untuk memancing. “Semasa sedang asyik memancing, tiba-tiba awan berubah warna hitam sebelum hujan turun dengan lebat. Melihatkan suasana yang agak menakutkan dengan guruh dan petir agak kuat, saya menyuruh rakan berteduh di dalam kereta. “Tetapi hanya saya dan seorang lagi rakan yang selamat kerana ketiga-tiga mereka termasuk Mohd Ismuazam tidak mengendahkan suruhan saya malah mengambil keputu-san berlindung di sebuah khemah diperbuat daripada kanvas yang didirikan pemancing sebelumnya,” katanya.

Mohd Arif berkata, ketiga-tiga mangsa enggan berganjak walaupun hujan lebat malah sempat lagi bergurau dengan berkata “alang-alang basah mereka akan terus memancing”.
“Selepas hujan reda, saya keluar untuk mendapatkan mereka dan terkejut setelah mendapati arwah sudah tidak bernyawa manakala dua lagi cedera. “Saya bergegas meminta bantuan orang ramai yang berada di kawasan ini untuk membawa mereka ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Tidak payah tengok televisyen”
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
“Tidak payah tengok televisyen”
hampir 2,000 memenuhi perkarangan Surau Haji Zainal Abidin untuk mendegar ceramah Ustaz Azhar, kelmarin
SURA GATE – “Kelakar...tidak payah tengok televisyen.” Demikian komen warga emas, Lijah Mamat, 60, ketika ditemui selepas menghadiri ceramah Ustaz Azhar Idrus yang diadakan di Surau Haji Zainal Abidin dekat sini, malam kelmarin.

Katanya, biarpun agak uzur namun setiap kali Ustaz Azhar hadir ke Dungun untuk menyampaikan ceramah, dia tidak pernah ketinggalan untuk mendengar ceramah yang disampaikan.

“Makcik seronok dengar ceramah Ustaz Azhar sebab banyak ilmu yang disampaikannya dapat memberi pengajaran pada kehidupan kita. “Selain itu, kita juga rasa terhibur dengan lawak jenaka yang diselitkan dalam ceramahnya, tidak payah tengok televisyen,” katanya.

Pada ceramah itu, seramai 2,000 penduduk memenuhi pekarangan surau tersebut untuk mendengar ceramah disampaikan pendakwah yang turut popular dalam kalangan anak muda itu.
Anak derhaka guna kayu, pisau ugut bunuh bapa
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
KUALA TERENGGANU – “Aku bunuh mu!” Demikian kata seorang anak derhaka mengugut bapanya hanya kerana tidak berpuas hati dengan orang tuanya itu, dalam satu kejadian di Kampung Petaling, Tepoh, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 petang dan suspek berusia 20-an, dikatakan sanggup mengugut bapa malang itu yang berusia 50-an dengan sebatang kayu dan sebilah pisau.

Difahamkan, suspek yang tidak bekerja itu ingin membalas dendam terhadap bapanya kerana tidak berpuas hati dimarahi selepas berlaku sedikit perselisihan faham antara dua beranak itu sebelum ini.

Suspek yang masih bengang dengan teguran bapanya terus menerkam belakang mangsa sambil mengacukan kedua-dua senjata ke muka mangsa dengan mengeluarkan kata-biadab itu
.
Dalam kejadian itu, berlaku pergelutan antara dua beranak terbabit selepas mangsa cuba menyelamatkan diri daripada terus diapa-apakan oleh suspek. Walaupun tidak dicederakan, namun bimbang berlaku perkara tidak diingini, mangsa mengambil keputu-san membuat laporan di Balai Polis Gong Badak pada hari kejadian.

Susulan laporan dibuat, suspek ditahan di rumahnya dan hasil ujian saringan urin turut mendapati suspek positif methamphetamine.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menjelaskan kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.
Padah dera anak majikan
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
Padah dera anak majikan
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara empat tahun kerana kesalahan mendera anak majikan dan tinggal lebih masa
KUANTAN - Hasrat seorang pembantu rumah warga Indonesia datang ke negara ini untuk mencari rezeki bagi menyara empat anaknya di kampung tidak kesampaian sebaliknya dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat tahun setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan mendera anak majikan.

Tertuduh, Nanis Supardi, 40 dari Jawa Timur, Indonesia turut dipenjarakan selama enam bulan kerana tinggal melebihi masa di negara ini walaupun mengikut pas lawatan, dia hanya dibenarkan tinggal di negara hingga 29 Februari lalu. Hukuman yang dibuat Hakim Nor Adidah Ahmad ke atas tertuduh itu bagaimanapun berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap 14 Mac lalu.

Dalam hujahnya, Nor Adidah menegur perbuatan tertuduh itu yang dianggap keterlaluan sedangkan dia juga seorang ibu kepada empat anak. Malah alasan tertuduh bahawa kejadian itu berlaku disebabkan satu kesilapan tidak boleh diterima, kerana dia sepatutnya melindungi mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) setelah dibayar gaji oleh majikan untuk berbuat demikian. “Kanak-kanak OKU itu bernasib baik kerana perbuatan kamu berjaya dikesan keluarganya hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Dalam kejadian kira-kita jam 6 hingga 6.30 petang 13 Mac lalu, tertuduh didakwa melakukan penganiayaan pada kanak-kanak OKU berusia11 tahun dengan cara memijak muka, leher, dada dan perut mangsa di sebuah rumah di Lot 2923, Kampung Batu Hitam di sini.

Tertuduh juga didakwa menutup muka mangsa dengan kain dan memasukkan air ke dalam mulut mangsa pada hari sama. Perbuatan tertuduh yang dipercayai baru sebulan bekerja di rumah tersebut disedari majikannya selepas segala perlakuannya itu dirakam CCTV yang dipasang di rumah keluarga terbabit.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan tinggal melebihi masa di negara ini, dia didakwa di bawah Sekyen 15 (1) Akta Imigresen 1959 /6B (Akta 155) dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 15 (4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.

Dalam rayuannya yang diterjemahkan seorang juru bahasa Indonesia, tertuduh merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia terpaksa menyara empat anak di kampung. Dia juga mengaku sudah berpisah dengan suami malah lelaki itu didakwa mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anaknya. “Selepas tamat hukuman, saya akan kembali ke Indonesia untuk tinggal bersama anak-anak,” katanya sambil mengesat air mata kesedihan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih berat ke atas tertuduh memandangkan perbuatannya itu amat keterlaluan. “Alasan tertuduh tidak boleh diterima kerana kes ini melibatkan hal kemanusiaan dan pada masa yang sama hukuman berat sebagai satu amaran kepada pembantu rumah lain supaya tidak melakukan perbuatan itu,” katanya.

Mengambil kira beberapa faktor termasuk kesalahan pertama dan kepentingan awam, Nor Adidah menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh bagaimanapun wanita itu dibenarkan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi
Rakan sekerja dicekup khalwat
AHMAD ISMADI ISMAIL
4 Mei 2012
Pegawai penguat kuasa menyoal pasangan yang dicekup khalwat.
Pegawai penguat kuasa menyoal pasangan yang dicekup khalwat.
AMPANG- Seorang lelaki yang dipercayai tidak pulang sejak tiga bulan lalu ditangkap khalwat bersama kekasihnya dalam serbuan di Taman Chempaka, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah kira-kira 1 pagi berjaya menahan lelaki berusia 27 tahun dan seorang perempuan, 22 tahun yang dipercayai tinggal bersama di rumah sewa berkenaan.

Ketika ditahan, perempuan itu memberi alasan tiada pilihan untuk tinggal di tempat lain menyebabkan dia tinggal bersama rakan sekerja yang berkhidmat dengan sebuah syarikat swasta itu.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, pihaknya menerima aduan mengenai lelaki dan wanita berkenaan tinggal serumah sehingga menimbulkan keraguan penduduk.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang perempuan berpakaian lengkap di dalam bilik,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, lelaki berkenaan sudah berkahwin dan tidak pulang ke rumah isterinya sejak tiga bulan lalu, manakala pasangannya masih bujang.

“Difahamkan lelaki berkenaan mengenali teman wanitanya itu sejak setahun yang lalu. Dia juga dipercayai tidak memberi nafkah kepada isterinya.

"Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995 dan jika disabit kesalahan kedua-duanya boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
PKR Selangor desak tutup 2 tol
RISWANDI RAZAK
4 Mei 2012
PKR Selangor desak tutup 2 tol
Azmizam (duduk, kiri) pada Sidang Media PKR Selangor, semalam
PETALING JAYA - PKR Selangor menggesa Kerajaan Pusat menutup operasi tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Lebuh Raya Persekutuan dengan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, sejak kutipan tol berkuat kuasa pada 15 November 1993, kadar kutipan kedua-dua plaza tol ini meningkat hampir dua kali ganda sekali gus membebankan rakyat.

Menurutnya, berdasarkan penyata rasmi Parlimen, operasi kedua-dua plaza tol ini bertujuan untuk memindah beban pembayaran kos pembinaan dan pembesaran jalan Lebuh Raya Persekutuan sepanjang 18 kilometer berjumlah RM357 juta kepada rakyat.

“Jika dihitung secara terperinci keuntungan yang diperoleh oleh Plus Expressways Berhad (Plus) menerusi operasi kedua-dua plaza tol itu ternyata kos pembinaannya mampu dibiayai menerusi kutipan tol dalam tempoh kurang dari tiga tahun sahaja,” katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau berkata, pihaknya bersama parti komponen Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan satu demonstrasi aman pada 13 Mei ini di kedua-dua tol tersebut sebagai tanda bantahan terhadap isu ini.

“Kos purata pembinaan lebuh raya bagi jarak 1 kilometer menelan belanja sebanyak RM20 juta, sekiranya lebih 160,000 kenderaan melalui lebuh raya ini (pergi dan balik), ini bermakna sebanyak RM352,000 berjaya dikutip, setiap hari serta RM10.56 juta dalam tempoh sebulan.

“Dalam tempoh tiga tahun, nilai modal bagi kos pembinaan pembesaran lebuh raya sebanyak RM357 juta mampu ditampung kembali,” katanya.

Sebelum ini, pada sesi perbahasan Perhimpunan Agung Umno Disember tahun lalu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menyuarakan cadangan agar tol berkenaan dimansuhkan.

Manakala 11 Jun lalu, Umno Bahagian Shah Alam bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membuat tuntutan sama menerusi penyerahan memorandum kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Ketua Umnonya, Datuk Ahmad Nawawi M Zin berkata, pemansuhan itu perlu kerana warga Shah Alam khususnya, terbeban dengan kadar tol.
Pemuda Pas juga mahu tol Batu Tiga dihapus
LIANA SAHABUDIN
4 Mei 2012
SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan menamatkan segera operasi tol Batu Tiga dan Sungai Rasau demi meringankan beban rakyat.

Menyambut baik cadangan PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Timbalan Ketua Pemuda negeri, Mohd Sani Hamzan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas jika kerajaan terus memindahkan beban tol ke atas rakyat.

“Kami akan berusaha memperjuangkan penghapusan tol seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR), sekiranya rakyat memberi jalan kepada PR untuk masuk ke Putrajaya dan  memerintah Malaysia.

“Bagi PR, semua ini tidak mustahil kerana terbukti kerajaan telah menutup beberapa operasi tol di Selangor dan Wilayah Persekutuan setelah dipaksa oleh mereka sendiri,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Tragedi dua sahabat baik
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
Tragedi dua sahabat baik
Motosikal yang dinaiki dua sahabat dirempuh kenderaan pacuan empat roda manakala mangsa tercampak ke kanan jalan.
KUALA SELANGOR – Dua rakan baik temui ajal apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di KM43.6, Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran sebuah restoran di Batu 2, di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri A Wahab berkata, ketika kejadian, mangsa, Muhamad Hafifi Shahimi, 18, bersama pembonceng, Imam Munandar Rais, 19, dalam perjalanan menghala ke Assam Jawa dari arah Kuala Selangor.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7.30 malam, pacuan empat roda secara tiba-tiba membelok masuk ke arah laluan menghala ke Kuala Selangor yang ketika itu sedang dilalui dua rakan terbabit.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu gagal mengelak lalu melanggar motosikal terbabit sehingga menyebabkan penunggang tercampak sejauh 4.5 meter ke kanan jalan manakala pembonceng pula tercampak sejauh lapan meter.

“Motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang mangsa diseret kenderaan terbabit dan serpihan komponen bertaburan di atas jalan,” katanya yang turut memaklumkan kedua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Asri berkata, siasatan awal mendapati keadaan jalan lurus berkembar dua hala dan mempunyai garis tengah putih memanjang manakala jalan berturap tar dalam keadaan basah.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kedua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat sebelum dituntut kedua keluarga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Bahayakan nyawa sendiri, elak rempuh tiga kenderaan
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
Bahayakan nyawa sendiri, elak rempuh tiga kenderaan
Treler yang terbabas kerana mengelak daripada merempuh lebih tiga kenderaan di hadapannya.
TAMPIN – Walaupun terpaksa membahayakan nyawanya sendiri, seorang pemandu treler yang membawa muatan roller, nekad mengelak dari merempuh lebih tiga kenderaan di hadapannya setelah sebuah kenderaan secara tiba-tiba membelok ke simpang berhampiran berdekatan Klinik Kesihatan Tampin, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pada jam 2 petang itu, pemandu treler berkenaan, See Ko Ngin, 57, berkata, susulan insiden berkenaan, treler yang dipandunya terbabas ke bahu jalan. Bagaimanapun, dia berasa lega kerana tidak melanggar kenderaan di hadapannya.
“Semasa kejadian, saya terus terfikir bahaya yang bakal terjadi kepada pemandu kenderaan di hadapan saya sekiranya saya tidak mengelak ke bahu jalan. Ini kerana kenderaan yang dibantu saya itu merupakan kenderaan berat.
“Oleh itu, saya terpaksa mengambil risiko mengelak dan terbabas sehingga menyebabkan perjalanan saya dari Lukut, Port Dickson ke Segamat, Johor yang seharusnya sampai kira-kira jam 4 petang tergendala,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.
Tak sempat ke pesta air, maut dalam kemalangan
HAMIZAH BASIR
5 Mei 2012
SEREMBAN – Hasrat seorang remaja lelaki mahu bersuka ria sempena Pesta Air Port Dickson, di sini, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 269.5, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Muhd Shamil Muhd Nor, 21, maut akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Menurut jurucakap polis, keja­dian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari Shah Alam ke Port Dickson berkonvoi bersama empat rakan lain yang turut menunggang motosikal secara berasingan.
“Mangsa yang menunggang motosikal sendirian, dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di hadapan namun gagal dan terus melanggar bahagian belakang kanan kereta terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan melanggar besi pe­ngadang jalan di kanan jalan sebelum tercampak ke atas jalan,” katanya.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar tetapi meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi ketika mendapatkan rawatan.
Difahamkan, empat rakan mangsa yang turut berkonvoi tidak terlibat dalam kemalangan dan pemandu Toyata Hilux tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut dan mayat mangsa telah dituntut ahli keluarganya.
Identiti mangsa bunuh belum diketahui
Wartawan Sinar Harian
4 Mei 2012
Identiti mangsa bunuh belum diketahui
$entry.content.caption.value
NILAI – Polis meminta orang ramai yang kehilangan saudara mara atau rakan-rakan segera tampil untuk membuat pengecaman bagi membantu siasatan terhadap penemuan mayat wanita tidak beridentiti di dalam longkang di pusat membeli-belah Nilai 3, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, pihaknya masih belum mengenalpasti identiti mayat yang dipercayai dibunuh itu.
 
“Mangsa mempunyai ketinggian 165 sentimeter, berbadan gempal dan rambut melepasi paras bahu.
 
“Mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu ditemui dalam keadaan memakai baju sejuk lengan panjang warna biru gelap jenama Padini (PDI), tali pinggang putih dan memakai seluar jeans biru jenama Babe serta memakai kasut jenama Sport,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, semalam.
 
Menurutnya, mangsa juga memakai jam tangan jenama Gucci dan cincin emas di jari manis kiri serta memakai subang emas.
 
“Mangsa dipercayai telah dibunuh 12 jam sebelum dicampakkan di dalam longkang tersebut.
 
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dipukul dengan objek tumpul di belakang kepala,”katanya
 
Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan saudara mara atau rakan diminta tampil segera dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7584999 atau 014-6600047 untuk membantu siasatan.
Warga emas maut, kain tersangkut pemutar kipas
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
Warga emas maut, kain tersangkut pemutar kipas
Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga di Hospital Yan.
YAN - Niat seorang ibu tunggal yang mahu menambat lembu ternakannya berakhir tragedi apabila dia ditemui mati dipercayai tersangkut di pemutar kipas sebuah kolam udang di Kampung Ruat, di sini, lewat petang kelmarin.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa, Che Siah Ariffin, 62, dipercayai mahu menambat lembu ternakannya apabila tiba-tiba kain yang dipakainya tersangkut di pemutar kipas kolam udang di belakang rumahnya di sini.
Katanya, mangsa dipercayai melangkah pemutar kipas terbabit sebelum kain yang dipakainya tersangkut.
“Dia dipercayai memegang dan menarik kain yang tersangkut di pemutar yang sedang bergerak itu sehingga dia turut terlekat di situ hingga mengakibatkan kecederaan hingga mendatangkan kematian.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang dan dipercayai mangsa mahu keluar untuk menambat lembu ternakannya,” katanya.
Sementara itu, anak kedua mangsa, Mohd Izham Hamid, 25, berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa ialah sebelum mangsa keluar rumah untuk mencari lembu ternakannya.
Menurutnya, sejurus selepas mangsa keluar, dia turut keluar rumah atas urusan tertentu sebelum dimaklumkan adiknya melalui telefon mengenai kejadian yang menimpa mangsa.
“Ibu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian­.
“Kami sekeluarga menerima kejadian yang berlaku ini dengan reda,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang dibuat pengusaha kolam udang terbabit pada jam 7.15 petang, kelmarin.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa cedera parah di bahagian­ kepala hingga menyebabkan kematiannya.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Yan sebelum dituntut keluarga dan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Ruat jam 10.15 malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, pagi semalam.
Pelajar berasmara di sungai
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
KULIM - Gara-gara ingin melampiaskan nafsu dengan kekasih masing-masing, tiga pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, sanggup ponteng sekolah untuk ke sebuah taman rekreasi air terjun bersama teman lelaki mereka.
Rahsia perbuatan sumbang mereka terbongkar apabila seorang waris pelajar terlibat dimaklumkan anaknya tidak hadir ke sekolah.
Curiga dengan kenyataan itu, waris pelajar meminta bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mencari tiga pelajar terlibat.
Timbalan Pengerusi PPKM, Ch’ng Seng Ang berkata, ahli PPKM diminta mencari pelajar terlibat di sekitar Sungai Kob dan Sungai Karangan.
Menurutnya, setelah usaha mencari gagal, beliau menerima panggilan kedua menyatakan tiga pelajar perempuan sedang berendam di sungai bersama tiga lelaki di Sungai Sedim.
“Kemudian saya memaklumkan kepada ahli PPKM melalui alat perhubungan supaya mencari tiga pelajar terlibat.
“Kira-kira jam 11 pagi, ahli PPKM dan waris pelajar terlibat berjaya menemui mereka bersama pasangan masing-masing di dalam air,” katanya yang mengakui kebanyakan pelajar sering ponteng sekolah dan melakukan perbuatan tidak bermoral itu di taman rekreasi berkenaan.
Seng Ang berkata, pemeriksaan mendapati, semua pelajar terbabit menyimpan pakaian seragam sekolah di dalam beg dan mereka hanya memakai pakaian biasa untuk menghabiskan masa bersama pasangan masing-masing.
“Ketiga-tiga pelajar perempuan dan kekasih mereka berusia 19, 20, dan 21, tahun kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Kon untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, ketika pasangan itu ditahan, masih ada beberapa pasangan lain dipercayai masih bawah umur turut berada di kawasan itu.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak, terutama pelajar perempuan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.
Katanya, sehingga kini permasalahan sosial melibatkan pasangan kekasih bawah umur sering berlaku.
“Terkini, seorang pelajar berusia 14 tahun didapati hamil dua bulan setelah melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya.
“Waris pelajar yang kecewa dengan perlakuan sumbang yang dilakukan mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kulim,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pelajar yang masih di bawah umur terlibat dalam perlakuan seks, sama ada pasangan mereka merelakan atau tidak tetap akan disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Samun guna renjatan elektrik
Wartawan Sinar Harian
4 Mei 2012
Mangsa menunjukkan kesan luka akibat renjatan elektrik.
$entry.content.caption.value
KARANGAN - Seorang wanita berusia 40-an disamun tiga lelaki bersenjatakan alat renjatan elektrik yang menahannya sebelum dilarikan menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Mangsa yang masih trauma berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi kelmarin ketika dia hendak masuk ke dalam kereta setelah membeli barang di pasar di Taman Alma. 
 
Mangsa kemudiannya didatangi tiga lelaki dari arah belakang dan menekan bahagian belakang kepalanya sebelum dikenakan renjatan elektrik.
 
Dia kemudiannya dipaksa memasuki kereta dan kepalanya ditutup dengan kain. Selama dua jam berada dalam kereta, seorang suspek memaklumkan kepada mangsa, dia akan ditinggalkan di Ipoh.
 
Mangsa merayu kepada suspek supaya tidak diapa-apakan dan meminta mereka menurunkannya di sekitar Pulau Pinang.
 
Mangsa tidak tahu di mana dia berada sehinggalah kereta yang dinaikinya berhenti. Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa turun sebelum ditinggalkan berseorangan.
 
Mangsa yang membuka ikatan di tangan dan kain yang menutupi mata mendapati dia berada di ladang kelapa sawit.
 
Dia kemudiannya berusaha mencari jalan keluar dan menemui seorang pekerja estet yang memaklumkan dia berada di Padang Meha.
 
Apabila tiba di tepi jalan besar, mangsa menahan sebuah kereta lain dan meminta untuk di hantar ke stesen minyak berhampiran.
 
Mangsa kemudiannya menghubungi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mendapatkan bantuan.
 
Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, beliau mengarahkan ahli yang sedang meronda pergi ke lokasi di mana mangsa berada.
 
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa oleh ahli PPKM ke Balai Polis Karangan untuk membuat laporan polis.
 
“Dari pemeriksaan dijalankan, terdapat kesan luka di bahagian belakang kepala mangsa akibat terkena alat renjatan elektrik.
 
“Selain kereta, mangsa turut kehilangan wang tunai, telefon bimbit dan barangan kemas, “ katanya.
 
Eng Khim berkata, apa yang berlaku kepada mangsa merupakan modus operandi yang sering digunakan oleh penjenayah untuk melakukan samun.
 
“Suspek akan menunggu mangsa untuk masuk ke dalam kereta. Sebaik membuka pintu, mereka akan datang dan mengarahkan mangsa untuk berdiamkan diri.
 
“Dengan cara ini penjenayah terlibat dapat mencuri kenderaan milik mangsa selain melakukan samun terhadapnya.
 
Eng Khim menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah yang digunakan oleh penjenayah.
 
“Terkini penjenayah akan merempuh di bahagian belakang kereta mangsa dan berpura-pura ia merupakan satu kemalangan. Apabila mangsa berhenti dan keluar dari kereta, dia akan disamun, ” katanya.
Hutan simpan kekal makin terancam
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
Hutan simpan kekal makin terancam
Mohammad Idris (tengah) pada sidang media, di sini.
IPOH – Sahabat Alam Malaysia menggesa Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha mengekal dan melindungi hutan simpanan kekal yang dikatakan semakin terancam.
Presidennya, SM Mohammad Idris berkata, meskipun Menteri Besar sebelum ini menyatakan komitmen terhadap isu berkenaan, keadaan kini dilihat seakan tidak bersungguh menyahut saranan untuk melindungi hutan simpanan kekal dan kawasan lindungan lain yang terdapat di negeri ini.
“Pemansuhan hutan simpanan kekal yang semakin kerap dalam tempoh kebelakangan ini agak membimbangkan dan tidak mustahil ada lagi hutan simpanan kekal di negeri ini akan dimansuhkan.
“Dakwaan ini berasaskan kepada pewartaan pemansuhan hutan simpanan kekal mengikut Seksyen 11, Akta Perhutanan Negara, 1984 yang semakin kerap oleh Kerajaan Negeri, tetapi tidak pula mengganti kawasan yang dimansuhkan itu mengikut Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara, 1984,” katanya dalam satu sidang media, di sini.
Mohammad Idris berkata, mengikut Warta Kerajaan Negeri Perak (Jilid 65; bertarikh 7 Mac 2012 sahaja), Kerajaan Negeri telah mansuh hutan simpanan kekal sebanyak 14 pewartaan membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,855.34 hektar.
Manakala jumlah keseluruhan pemansuhan sejak 2009 hingga kini (21 Mei 2009-2 Mac 2012) pula ialah kira-kira 8,548.83 hektar.
Beliau berkata, Sahabat Alam Malaysia tidak menafikan hak dan bidang kuasa Kerajaan Negeri untuk memansuhkan sama ada sebahagian atau keseluruhan hutan simpanan kekal di sesuatu kawasan, tetapi ia perlulah diganti.
Sebagai contoh katanya, sebahagian hutan simpan Teluk Muroh telah dimansuhkan seluas kira-kira 487 hektar pada 29 September 1988, ia diwarta semula kira-kira 89.83 hektar pada 28 April 2004, bagaimanapun dimansuhkan semula (121.16 hektar) pada 6 Januari 2010.
“Sesuatu yang kita tidak dapat terima apabila pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dijadikan justifikasi utama dalam pemansuhan hutan simpanan kekal ini.
“Malah, daripada pemerhatian dan kajian yang kita buat mendapati, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemansuhan dan pemusnahan hutan simpanan kekal sama ada sebahagian atau keseluruhan tidak selaras dengan Dasar Perhutanan Negara (DPN) dan tidak selari dengan Rancangan Fizikal Negara (RFN), justeru kita harap akan ada langkah proaktif diambil Kerajaan Negeri bagi menangani masalah ini,” katanya.
Lawan arus elak dicekup
Wartawan Sinar Harian
4 Mei 2012
Lawan arus elak dicekup
Pondan warga asing yang dipercayai melakukan kegiatan tidak bermoral di Jalan Yang Kalsom di soal siasat pegawai bertugas dalam Ops 6P yang diadakan kelmarin
IPOH - Seorang lelaki warga Pakistan bertindak menunggang motosikal melawan arus bagi mengelak dicekup anggota Jabatan Imigresen Negeri ketika menjalankan Ops 6P di Sungai Siput kelmarin.

Lelaki berusia 20 tahun itu menunggang motosikal secara berbahaya sehingga menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Ahamad Puat Abd Hamid berkata, operasi yang diadakan lewat pagi itu membabitkan 19 pegawai dan anggota.

“Operasi bermula lewat pagi di kawasan Sungai Siput dengan pemeriksaan dibuat di beberapa buah premis perniagaan.

“Hasil pemeriksaan menangkap seorang wanita warga Indonesia berusia 28 tahun dan lelaki warga Pakistan,” katanya.

Dalam operasi seterusnya, Ahamad Puat berkata, pasukannya menyerbu beberapa premis sekitar bandar raya Ipoh dan menahan 10 warga Myanmar yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak berusia antara tujuh bulan ke 31 tahun.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurutnya, operasi bersambung di Jalan Yang Kalsom untuk menjejaki pondan warga asing yang dipercayai melakukan kegiatan tidak bermoral di kawasan berkenaan.

“Sebelum pemeriksaan dijalankan beberapa anggota telah ke kawasan tersebut dan menyamar sebagai pelanggan bagi menarik perhatian mereka sebelum serbuan dilakukan.

“Hasil serbuan berjaya menahan lima warga Thailand berusia antara 28 ke 36 tahun kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Per. 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat- syarat pas,” katanya.
Kasih adik tanpa sempadan
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
Mohd Shukri tabah menjaga kakaknya yang hilang ingatan dan kurang upaya.
Mohd Shukri tabah menjaga kakaknya yang hilang ingatan dan kurang upaya.
PONTIAN - Kehidupan yang sukar selepas kematian ibu tersayang akhir bulan lepas, memaksa seorang adik mengambil alih tugas menjaga kakaknya yang hilang ingatan dan kurang upaya.

Mohd Syukri Nalam, 37, tabah menguruskan keperluan Suria Nalam, 38, bermula awal pagi termasuk memandi dan memberikan makan.

Menurutnya, dia juga terpaksa berhenti kerja kira-kira dua tahun lalu untuk menjaga arwah ibunya yang menghidapi penyakit kanser usus dan membantu menguruskan kakaknya itu.

“Saya tidak sanggup melihat ibu yang sedang sakit menguruskan kakak. Saya mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pekerja kontraktor sebuah syarikat telekomunikasi ketika itu,” katanya.

Tambah memeritkan, isterinya juga disahkan menghidap penyakit batu karang.

“Kedudukan rumah yang dekat, memudahkan kami menjenguk kakak. Saya akan menjaga kakak sehingga dia tidur sebelum kembali ke rumah,” katanya yang menetap di Lorong Sulaiman, Parit Semerah di sini.

Biarpun terpaksa menghadapi rutin seharian yang begitu sukar namun dia bersyukur kerana isterinya turut membantu menambahkan pendapatan keluarga dengan mengambil upah membuat kuih secara sambilan.

“Sebelum ini, segala perbelanjaan kakak ditampung dari wang pencen ayah yang turut digunakan untuk membeli ubat dan lampin pakai buang,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Dia turut melakukan kerja sambilan dengan membaiki komputer riba di rumah, namun tidak banyak yang diperoleh berikutan perhatian penuh perlu diberikan kepada kakaknya itu.

“Dahulu kakak yang begitu ceria, namun selepas diserang demam panas sebanyak dua kali ketika berusia 17 tahun dan 23 tahun, ingatannya mula terganggu.

“Arwah ibu sudah membawa kakak ke hospital namun keadaannya semakin teruk ketika itu sehingga sukar bercakap dan bergerak,” katanya.

Justeru, Mohd Syukri memohon ada pihak sudi memberi sumbangan terutama dari segi kos keperluan lampin pakai buang dan makanan.
'Kehilangan' timbul tanda tanya
Wartawan Sinar Harian
4 Mei 2012
'Kehilangan' timbul tanda tanya
Bau busuk membawa kepada penemuan lima beranak
PASIR GUDANG - Penemuan mayat sepasang suami isteri dan tiga anaknya di sebuah pusat penghawa dingin di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Masai, di sini malam kelmarin, mengejutkan peniaga yang beroperasi di kawasan berhampiran.

Salah seorang pekerja bengkel, Rizal Ahmad, 22, berkata, kali terakhir dia melihat keluarga berkenaan pada beberapa hari lalu, namun tiada perkara mencurigakan berlaku.

“Kami jarang bercakap dan hanya menumpukan kepada perniagaan masing-masing.

“Sebelum ini, mereka juga beroperasi dengan tidak menentu, kadang-kadang buka (kedai), kadang-kadang tutup,” katanya.

Rizal berkata, pemilik pusat penghawa dingin berkenaan diusahakan sepenuhnya oleh pasangan suami isteri berkenaan tanpa bantuan pekerja tambahan lain, sejak beberapa bulan lalu.

“Walaupun kami jarang bertegur sapa, namun kematian mereka amat mengejutkan dan saya juga tidak pernah mendengar sebarang pertengkaran atau pergaduhan berlaku dalam keluarga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pekerja kedai serbaneka, Amrit Tahapa, 26 berkata, ‘kehilangan’ tiga anak kecil milik pasangan suami isteri berkenaan yang jarang kelihatan menimbulkan tanda tanya namun menyangka mereka sekeluarga pulang ke kampung.

“Sebelum ini mereka selalu datang ke kedai ini untuk membeli makanan ringan dan minuman, malah anak-anak mereka kerap bermain di kaki lima kedai selepas pulang dari sekolah.

“Tetapi sejak dua, tiga hari lepas mereka tidak kelihatan dan kami menyangka mereka pulang ke kampung,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Affandi berkata, dia pernah mendapatkan khidmat pasangan suami isteri berkenaan untuk membaiki penghawa dingin keretanya yang rosak.

“Akhir bulan lalu, saya ada ke kedai mereka untuk baiki kenderaan, dan beberapa hari lalu saya datang semula ke kedai mereka untuk membaiki kerosakan sama.

“Petang semalam (kelmarin) saya datang sekali lagi ke kedai ini dan kebetulan bertemu dengan bapa mangsa yang sedang mencari anaknya yang sudah beberapa hari gagal dihubungi.

“Kami berasa curiga apabila terhidu bau busuk ketika mendekati pintu kedai dan segera menghubungi pihak polis,” katanya.

AWAL PENDIDIKAN ...ABAIKAN PENDIDIKAN AGAMA...MENGAMAL AJARAN ISLAM....SAMAPAI KE TUA ABAIKAN JUGA AJARAN ISLAM...MAKA INI JADINYA...

Suami suka bergincu

Oleh Mary Victoria Dass, Siti Nadirah Hafidzin dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

TABIAT SONGSANG...Mamat gemar bersolek pada waktu malam.
TABIAT SONGSANG...Mamat gemar bersolek pada waktu malam.
PONTIAN: “Di siang hari, dia lelaki sempurna dan melaksanakan semua tanggungjawab termasuk pergi bekerja kontrak, tetapi pada waktu malam kelakuannya berubah seperti wanita dengan bersolek tebal, memakai coli, pakaian pelangsing dan baju tidur perempuan.”
Demikian keluh wanita mahu dikenali sebagai Zaleha, 40, yang buntu dengan sikap pelik suaminya dan terpaksa membendung penderitaan itu sejak awal mereka mendirikan rumah tangga lebih 15 tahun lalu.
Menurutnya, setiap malam selepas mengubah perwatakan daripada lelaki kepada wanita, suaminya yang dikenali sebagai Mamat, 42, hanya berkurung dalam rumah bagi mengelak orang ramai melihat penampilan peliknya itu.

Zaleha berkata, perkahwinan dia dan Mamat dirancang keluarga dan dia tidak mengetahui tabiat aneh lelaki itu sehingga mereka berpindah dari rumah mentua ke kediaman sendiri di sebuah kawasan perumahan di sini, selepas dua bulan mendirikan rumah tangga.

Simpulan kasih Awal, Scha

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

BAHAGIA...Awal dan Scha sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz.
BAHAGIA...Awal dan Scha sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz.
PUTRAJAYA: Episod percintaan yang terjalin lebih dua tahun antara Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, dan Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 28, disempurnakan dengan ikatan perkahwinan apabila pasangan pelakon serta pengacara popular itu selamat diijabkabulkan, jam 9.15 malam tadi.
Upacara akad nikah dilakukan bapa mempelai perempuan, Syed Mahadzir Syed Kecik Al-Yahya sambil disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd Salman Idrus di Pullman Lakeside, di sini .

Hanya dengan sekali lafaz berserta mas kahwin RM2,050, Ahmad Awaluddin yang popular dengan panggilan Awal dan Sharifah Norazean atau Scha yang kelihatan berseri-seri dengan persalinan rekaan Syaiful Baharim, sah bergelar suami isteri.
“Syukur Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. Ini tanggungjawab baru buat kami berdua dan doakan semoga kami menjalani bahtera rumah tangga dengan baik serta berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Scha kini sah menjadi isteri saya dan tentunya sebagai suami, saya mahu menjaganya sebaik termampu. Saya tidak menghalang Scha aktif dalam bidang seni asalkan dia tahu batas seorang isteri,” kata Awal yang menangis kegembiraan, begitu juga isterinya.

Pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan oleh pengantin perempuan, namun pasangan itu sepakat merahsiakan wang hantaran yang diserahkan pihak lelaki.

“Wang hantaran terlalu peribadi untuk kami ceritakan. Apa yang penting, perkahwinan ini didorong atas dasar kasih sayang dan keikhlasan yang wujud sepanjang kami menjalin hubungan,” kata Scha sambil memberitahu dia dan suami berbulan madu di New York, Amerika Syarikat.

Mengimbas perkenalan pasangan pengantin baru itu, mereka berkenalan ketika sama-sama terbabit program ‘Sehati Berdansa’ dan selepas setahun digosipkan, mereka yang terkenal dengan gelaran ‘Schawal’ mendedahkan mereka bercinta.
Hadir sama pada majlis pernikahan itu, bapa Awal, Ashaari Ahmad dan Aishah Mohd Amin serta ibu bapa Scha, Syed Mahadzir dan Junainah Hashim, anggota keluarga serta rakan artis antaranya Tam Suhaimi, Dynaz, Farish dan Sazzy Falak selain wakil media.

Selesai akad, pasangan pengantin menyempurnakan majlis berinai. Mereka mengenakan persalinan rekaan Rizman Ruzaini berkolaborasi dengan Atiqah’s Songket.

Jemu isteri, cari janda

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

SIASAT...penguat kuasa JHEAINS mengambil keterangan wanita terbabit.
SIASAT...penguat kuasa JHEAINS mengambil keterangan wanita terbabit.
SOAL...Khamis (kiri) menyoal siasat lelaki terbabit.
SOAL...Khamis (kiri) menyoal siasat lelaki terbabit.
KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera bukan saja meninggalkan isteri dan dua anaknya, malah melakukan perbuatan terkutuk dengan bermadu asmara bersama kekasih gelapnya yang juga janda di sebuah bilik sewa di Kampung Sembulan Lama, di sini, semalam.
Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam serbuan di bilik sewa itu, jam 1.30 pagi.
Sumber berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa JHEAINS.

Menurutnya, siasatan mendapati, lelaki berusia 43 tahun itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala pasangannya yang berusia 33 tahun berstatus janda dari Indonesia.


“Pasangan terbabit menjadikan bilik sewa di Kampung Sembulan Lama lokasi untuk melakukan hubungan seks hampir dua tahun,” katanya.

Friday, May 4, 2012

UTAMAKAN...AWAL2 JADI SUAMI SOLEHAKAN ISTERI...SEPERTI MASALAH AURAT DAN PATUH AJARAN ISLAM...JANGAN KITA MENDAYUSKAN DIRI..PAKAR NI BUKAN PERINGKAT NEGERI...MALAH KENA JUGA PERINGKAT NEGARA...UTAMAKAN ORANG TEMPATAN...

Amy Search terkilan tak sempat tunai hajat Bob Kuman


NORMAH OTHMAN menabur bunga di pusara suaminya Allahyarham Bob Kuman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sega Ulu, Rantau, Negeri Sembilan semalam.



PETALING JAYA – “Bro, gua sebenarnya dah jauh.”Itulah kata-kata pelakon dan pelawak, Allahyarham Bob Kuman yang tidak dapat dilupakan oleh penyanyi rock, Amy Search semasa mereka berbual menerusi telefon kira-kira dua minggu lalu.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 54, kata-kata arwah itu masih terngiang-ngiang ditelingannya seolah-olah sudah memberi petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Saya juga terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir Allahyarham yang inginkan alat pemain MP3 sebagai hadiah hari jadinya.
“Saya sudah membeli alat tersebut dan menyimpannya di rumah. Malangnya saya tidak dapat menyerahkan alat itu kepadanya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Surat Osama didedahkan


SURAT Osama yang didedahkan Pusat Memerangi Keganasan Tentera Amerika Syarikat kelmarin.


WASHINGTON - Bekas ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden pernah menyuarakan kebimbangan tentang kelunturan kepercayaan dunia Islam terhadap rangkaiannya dalam beberapa pucuk surat yang ditulis semasa dia bersembunyi di sebuah banglo di bandar Abbotabad, Pakistan.
Dalam surat berkenaan, beliau turut khuatir berhubung organisasi pengganas berkenaan yang semakin tidak tersusun.
Sebilangan dokumen berkenaan yang dirampas dalam serbuan pasukan komando AS, Navy Seal ke kediaman Osama di Abbottabad, disiarkan di Internet kelmarin oleh Pusat Memerangi Keganasan Tentera AS.
"Saya merancang untuk mengeluarkan satu kenyataan bahawa kita (Al-Qaeda) akan memulakan fasa baharu bagi membetulkan kesilapan yang kita lakukan," kata Osama dalam sepucuk surat berkenaan pada 2010.
"Dengan berbuat demikian, kita akan memperoleh kembali kepercayaan sebahagian besar mereka yang telah hilang keyakinan terhadap perjuangan kita," tambahnya.
Dokumen berkenaan turut menyuarakan kekesalan Osama ekoran tindakan anggota-anggota Al-Qaeda yang membunuh terlalu ramai orang Islam.
Namun, sehingga ke akhir hayatnya, Osama tetap memberikan tumpuan untuk menyerang rakyat AS dan berkomplot membunuh barisan pemimpin tertinggi negara kuasa besar berkenaan termasuk Jeneral David Petraeus, Naib Presiden Joe Bidden dan tidak terkecuali, Presiden AS, Barack Obama.
Ketua Al-Qaeda itu terbunuh dalam serangan komando AS ke kediaman persembunyiannya di Abbottabad pada 2 Mei 2011 ketika berusia 54 tahun. - Agensi

Rancang ke Eropah



SHAM MOODLIAR dan isterinya Janice Smith ketika sidang akhbar di kediamannya di Kuala Lumpur semalam.



PETALING JAYA – Keluarga kepada budak lelaki yang diculik Jumaat lalu dan kemudian dibebaskan kelmarin bercadang untuk bercuti di Eropah bagi menghilangkan tekanan akibat kes berkenaan.
Sham Moodliar, 41, berkata, beliau dan keluarganya termasuk isteri, Janice Smith, 40, bercadang untuk bercuti selepas berlaku kes penculikan terhadap anak mereka Nayati Shamelin, 12 (gambar kecil).
“Saya dan keluarga akan bercuti di Eropah,” katanya kepada pemberita di sini semalam sambil menitiskan air mata.
Nayati bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar tersebut kerana dikatakan bertegas mahu ke sekolahnya di Sekolah Antarbangsa Mont Kiara di sini.
Menjelaskan lebih lanjut, Sham berkata, anak sulungnya itu telah kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.
“Setelah pulang ke rumah, Nayati meminta hidangan nasi ayam daripada kami,’’ katanya.
Janice pula berkata, anaknya tidur nyenyak sejak kembali ke kediamannya malam khamis lalu.

Awal, Scha kini suami isteri



AWAL Ashaari menyarungkan cincin di jari manis Scha selepas majlis akad nikah mereka di Putrajaya semalam.



PELAKON Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal Ashaari dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 29, selamat diijabkabulkan pada satu majlis yang berlangsung di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya semalam.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Mahadzir Syed Kechik Alyahya dengan disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd. Salman Idrus.
Scha yang kelihatan anggun dengan busana baju kurung moden berwarna putih menerima tujuh dulang hantaran manakala Awal yang segak berbaju Melayu menerima sembilan dulang hantaran.
Scha turut menerima RM2,050 sebagai mas kahwin tetapi pasangan tersebut enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kepada umum.

Sindiket culik terbongkar



empat mangsa culik diselamatkan daripada kurungan di salah sebuah rumah kedai di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur kelmarin.



SHAH ALAM - Rahsia kegiatan jenayah sindiket culik didalangi warga asing di sini terbongkar apabila polis menahan 11 penculik dan menyelamatkan empat mangsa yang dikurung dalam tiga serbuan di sini dan ibu negara kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, empat mangsa culik yang melibatkan dua warga Bangladesh dan dua warga Myanmar berumur antara 18 hingga 40 tahun diselamatkan daripada dikurung di sebuah rumah kedai di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam kelmarin.
Menurut beliau, semasa diselamatkan empat mangsa culik lelaki itu dalam keadaan lemah dan ada kesan kecederaan dipercayai dipukul menggunakan kayu hoki oleh penculik.
"Dalam serbuan di rumah kedai itu, polis juga memberkas lima lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita rakyat Indonesia berumur antara 23 hingga 39 tahun," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.

Amah Indonesia pijak anak majikan dijel


NANIS dera anak majikan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan semalam selepas dijatuhi hukuman penjara.


KUANTAN - Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap amah warga Indonesia yang mengaku bersalah melakukan penderaan ke atas anak majikannya yang juga kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pada Mac lepas.
Hakim Noradidah Ahmad juga menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas Nanis Supardi, 40, kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memijak muka, leher, perut dan dada mangsa serta menekup muka dan memasukkan air ke dalam mulut kanak-kanak perempuan malang yang berusia 11 tahun itu.
Perbuatan keji tersebut dirakam menerusi kamera litar tertutup yang dipasang majikannya dan dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 6 hingga 6.30 petang di Lot 2923, Kampung Batu Hitam, Beserah pada 13 Mac lepas.

Jangan ketepi orang tempatan



ORANG ramai akan menghadapi kesukaran sekiranya pihak berkuasa gagal menguruskan bekalan air sebaik mungkin. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Persatuan Air Malaysia (MWA) mendesak kerajaan negeri Selangor agar mengutamakan kemahiran pakar tempatan dalam menangani krisis air yang dihadapi oleh negeri tersebut.
Presidennya, Ahmad Zahdi Jamil berkata, khidmat pakar tempatan lebih sesuai memandangkan mereka sudah mengetahui kaedah yang diperlukan untuk mengendalikan struktur air di negara ini.
"Setiap projek di negara ini perlu disesuaikan mengikut senario tempatan antaranya keperluan kewangan projek, penilaian risiko dan budaya tempatan.
"Pakar asing mungkin akan mengalami kesukaran untuk menyelesaikannya. Kita telah banyak melihat kegagalan menggunakan tenaga asing sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Thursday, May 3, 2012

POLIGAMI...KENA ADA..1.KEWANGAN YANG KUKUH 2. TENAGA MAMPU MELAYAN 3. SABAR TAHAP GABAN@TINGGI...SELAIN PEGANGAN AGAMA SERTA AMALAN JUGA KUAT....INSYALLAH BAHGIA...

Isteriku, mi Abu & mi Derga ...
MUHAMAD MAT YAKIM
4 Mei 2012
Biasanya beginilah, balik dari kampung, terlalu banyak kenangan yang dibawa. Seperti baru pulang dari bertemu kekasih yang sudah lama tidak jumpa, kadang kala boleh terbawa-bawa dalam mimpi.

Minggu lepas, saya sempat bawa anak isteri balik kampung. Walaupun hanya tiga hari setelah lebih lima bulan tidak menjengah keluarga, ada juga beberapa pengalaman istimewa dilalui.

Saya tidak ingat bila kali terakhir saya makan kuih bengkang tepung beras, rasanya mungkin sudah lebih 10 atau 15 tahun. Tidak terkira betapa gembira sebaik sahaja tiba di rumah mertua petang 29 April lalu, kuih bengkang siap menunggu di meja.

Saya pun apa lagi, ‘balun’ sampai ‘tidak hengat’ (pinjam istilah golongan ‘new school’). Maklumlah, sudah berbelas tahun tidak jumpa!

 Terimbau kenangan zaman budak-budak, setiap kali emak buat bengkang tepung beras, saya pasti pilih bahagian bingkainya - saya guna istilah ‘bingkai’ merujuk pada bahagian luar atau kulit yang berkerak - agak kehitaman.

Di samping rasa bengkang yang berlemak, bahagian yang berkerak itu memberikan saya keenakan yang luar biasa dan sukar hendak digambarkan dengan kata-kata.

Bukan tidak ada bengkang tepung beras dijual di pasar malam atau bazar Ramadan di Rawang atau Shah Alam namun terus terang, saya tidak yakin akan mendapat kepuasan yang serupa dengan menjamah bengkang yang dibeli berbanding buatan sendiri, sama ada daripada air tangan emak atau mertua.

Maklumlah, jika dibuat sendiri, santannya tidak berkira berbanding yang dibuat untuk jualan, sedangkan banyak atau sedikit santanlah yang akan jadi penentu keenakan.

Kuih bengkang yang tidak cukup lemak, memang tidak cukup ‘UMMMPPPHH’ kata orang.

Selain bengkang, pulang bercuti kali ini turut membawa saya ke warung mi goreng yang sudah lama saya dengar namanya tetapi inilah kali pertama saya berpeluang kunjungi Warung Mi Goreng Derga yang tidak jauh dari sekolah saya, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di Jalan Langgar, Alor Setar.

Selama ini, saya cukup setia pada mi Abu. Biasanya, walau balik ke Alor Setar sehari pun, saya pasti tidak lepas untuk bertandang ke kedai mi Abu sama ada di Jalan Telok Wan Jah ataupun Jalan Sultanah.

Teringat beberapa tahun lepas, saya pernah disoal siasat oleh isteri yang curiga kerana saya terlalu kerap ke Kedai Mi Abu. “Ada anak dara kut dok tunggu di kedai tu?” dia bertanya.

 Saya jawab: “Mana ada anak dara... mamak tua yang dok goreng mi tu ada la ...”

Pada suatu malam tidak lama selepas insiden soal siasat itu, saya bawa isteri keluar dan kami singgah di Kedai Mi Abu.

Hendak jadi cerita, malam itu, ada tiga anak dara - yang memang cun melecun - jual nasi lemak di kedai itu.

Isteri pun apa lagi, “patutlah selama ni dok rajin mai (datang) sangat, ada anak dara lawa rupanya!”

Saya yang peluh sudah memercik di dahi cuba juga untuk menjawab: “Mana nak tau mi Abu katup (tutup) malam, ada orang jual nasi lemak tang ni (di sini). Sebelum ni, dok mai siang saja.”

Walaupun logik dan memang itulah kenyataannya, isteri nampak macam susah hendak terima penjelasan saya.

Hinggalah kemudiannya saya bawa dia ke Kedai Mi Abu pada waktu siang pula untuk membuktikan perkara yang sebenar. Dan akhirnya, dia pun jadi penagih mi Abu seperti saya juga.

Selepas ini, saya akan bawa dia ke warung mi Derga pula, sambil menziarahi semula tempat di mana cinta kami mula berputik zaman sekolah dulu.

Saya dan isteri bertemu ketika kami berada di tingkatan enam rendah pada 1989.

Itulah kenangan - sudah 23 tahun usianya - namun sesuatu yang sudah bertapak kukuh dalam hati kita, tidak akan berganjak kedudukannya walau apa jua halangan, ujian mahupun saingan.

Walaupun sudah ada yang baru, mi Derga, mi Abu saya tak akan lupakan. Ia tetap istimewa di hati saya selama-lamanya!
‘Ayah, orang English tak pakai baju!!!’
MUHAMAD MAT YAKIM
20 April 2012
Cuti hujung minggu lalu, saya bawa keluarga bersantai di kolam renang sebuah hotel di Kuala Lumpur. Saya memilih untuk jadi ahli kelab percutian hotel di pinggir tasik The Mines itu kerana jaraknya tidak jauh dari rumah.

Ya, saya amat memerlukan tempat seperti itu. Jadual kerja saya yang masuk pejabat pada waktu petang dan pulang tengah malam, selain perlu bekerja pada hujung minggu menyebabkan waktu untuk bersama keluarga sangat terhad.

Saya hanya ada ruang untuk bertanya khabar isteri dan anak-anak pada awal pagi. Tatkala saya pulang kerja waktu dinihari, mereka sudah dibuai mimpi.

Isunya bukan semata-mata jadual kerja tetapi juga kerana jarak rumah saya dengan pejabat yang agak jauh.

Tidak. Ini bukan rungutan tetapi sekadar untuk menceritakan bagaimana saya berusaha mengimbangi tuntutan antara dua perkara yang sama penting dalam hidup saya.

Ketika isteri melahirkan anak bongsu dua tahun lalu, saya sering berdoa supaya nanti janganlah apabila anak sudah pandai bercakap, dia sampai bertanya: “Pakcik cari siapa?” ketika melihat saya tercegat di depan pintu rumah.

Kerana itu, beriadah dengan kerap di lokasi yang tidak jauh dari rumah, untuk mengimbangi masa bersama yang sangat terhad, adalah berbaloi untuk keluarga saya.

Saya jarang punya masa luang yang panjang untuk bawa mereka bercuti jauh dari Kuala Lumpur dalam tempoh yang lama. Jika ada sekali pun, biasanya masa itu kami manfaatkan untuk balik kampung. Keluarga di kampung - terutama orang tua - pun tidak kurang juga pentingnya.

Ya, anak-anak saya sememangnya sangat teruja dibawa ke kolam renang. Namun dalam keadaan saya berasa sudah hampir lega, timbul pula masalah baru. Iyalah, di kolam renang, anda sendiri tentu maklum bagaimana pemandangannya.

Ini bukan soal saya tidak suka melihat pemandangan yang berbagai bentuk, ada seperti jemput-jemput, buah cempedak atau jambu bola di tepi kolam itu tetapi yang jadi masalah ialah apabila mendapati ada yang menutup gunung dan lembah hanya dengan secebis kain.

Itulah yang menggusarkan saya. Ini sudah tentu sangat negatif bagi anak-anak!

Saya teringat apa yang berlaku setahun lalu ketika kami sekeluarga bercuti di Langkawi. Masuk bilik hotel, anak lelaki ketiga saya yang ketika itu baru enam tahun umurnya, terus tarik langsir yang menghadap Pantai Cenang. Sebaik langsir terkuak, dia menjerit: “Ayah, orang English tak pakai baju!!!”

Ya, ketika itu dia menjerit. Tetapi di kolam renang hujung minggu lalu, dia tidak berkata apa-apa. Itu yang lebih menakutkan saya. Saya bimbang jika anak yang baru mengenal dunia, sudah mulai anggap ‘orang tak pakai baju itu perkara biasa’.

Soalnya, di manakah kita boleh dapat pantai atau kolam renang, yang benar-benar boleh buat kita rasa selesa untuk bawa keluarga beriadah?

Susah sangatkah untuk mengadakan zon pantai atau kolam renang awam yang memenuhi keperluan syariat di negara majoriti Islam ini? Sekurang-kurangnya, tidaklah ibu bapa malu atau serba salah untuk bawa anak beriadah sedangkan aktiviti ini sangat penting bagi kita.

Teringat satu lagi peristiwa ketika saya dalam perjalanan untuk menunaikan umrah 14 tahun lalu. Ketika singgah di Amman, Jordan, saya dibawa ke Laut Mati di sempadan Jordan - Israel. Di pantai itu, seorang gadis Arab berbikini hitam, berjemur seorang diri.

Tidak. Tidak ada pandangan kali kedua daripada saya ke arah wanita itu kerana saya masih sedar bahawa perjalanan saya itu untuk menunaikan umrah. Masih terngiang-ngiang lagi laungan azan Imam Haji Naf’an ketika saya hendak keluar dari rumah dua hari sebelumnya.

Tetapi dari pandangan yang sekilas itu, saya tahu wanita itu sangat cantik, kulitnya putih gebu.

Apa yang paling menarik perhatian saya ialah kemudiannya datang seorang wanita berpurdah bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia sekitar enam hingga sembilan tahun, yang mungkin anak-anaknya. Tatkala si ibu - biarlah kita panggilnya begitu - berusaha menarik tangan anak-anaknya pergi dari situ, si anak pula masing-masing berkeras, bertahan.

Mereka begitu teruja memerhatikan gadis berbikini itu hinggakan tidak mahu berganjak meskipun ditarik dan dimarahi oleh si ibu.

Akhirnya kita terpaksa terima hakikat bahawa maksiat ada di mana-mana, sukar sekali untuk dielak dan yang pentingnya adalah kita. Bagaimana kita menjaga diri kita, dan ahli keluarga kita daripada api neraka!
Poligami: Ustaz pun belum tentu ‘berani’
MUHAMAD MAT YAKIM
13 April 2012
Tengah hari Jumaat lalu, saya dihubungi seorang kawan. Bermula dengan SMS tetapi seperti tidak cukup puas, dia akhirnya mahu bercakap juga dengan saya. Teruja sungguh nampaknya dia baca Kelab 40 hari itu.
“Hang nak lagi info pasal poligami? Aku boleh bagi,” katanya.
“Nak sangat la, apa lagi direct from the horses mouth. Kalau hang nak tulis, pun aku bagi,” kata saya.
Kawan saya itu memangnya beristeri dua. Selain banknya yang saya ketahui besar, teguh dan peramah, saya percaya dalam aspek lain pun dia lebih daripada mampu. Bukan seperti saya yang setakat mahu tetapi tidak mampu, malah tidak laku. Bukan tak pernah cuba!
“Macam nilah, hal poligami ni, bukan semua orang boleh. Bukan aku nak kata aku ni hebat sangat tapi TUHAN pun dah kata, kalau tak mampu, cukuplah dengan satu. Kalau kita tengok balik, ustaz-ustaz pun bukan semua berani cakap hal poligami.
Cakap pun tak ‘lepas’ jangan kata nak buat,” katanya.
Walaupun kami selalu berjumpa tetapi saya tidak tahu mengapa hari itu dia memilih untuk ‘berceramah’ kepada saya melalui telefon. Barang kali dia sudah tidak sabar untuk melepaskan apa yang sudah lama terperangkap di dalam dadanya, sudah tentu kerana tulisan saya hari itu yang bertajuk ‘Abah tak pening ada dua isteri?’ ada hubung kait dengan dirinya.
Kemudian kata kawan saya, dia terima takdir hidupnya untuk berpoligami, selain tanggungjawab kepada kedua-dua isteri serta anak-anak, juga sebagai tugas untuk dia menyampaikan kepada dunia akan hikmah perkahwinan itu.
“Poligami bukan sesuatu yang buruk. Itu yang aku nak bagi tahu. Tapi tak semua orang yang boleh bercakap hal ini,” katanya.
Perbualan kami bagaimanapun tidak boleh berlangsung lama kerana ketika itu saya sedang bersiap-siap hendak ke masjid. Kami berjanji untuk bertemu dan bercerita sambil pekena teh tarik esoknya. Lebih seronok.
Tetapi sebelum tamatkan perbualan, saya mengingatkan rakan itu: “Aku hanya boleh dengar saja, sebagai ahli kelab penyokong. Aku tak layak pun nak masuk kelab hang pa.”
Dalam perjalanan ke masjid, saya teringat kata-katanya: “Bukan semua orang boleh bercakap hal poligami, ustaz-ustaz pun bukan semua ‘lepas'."
Teringat pula beberapa tahun lalu, saya terima amanah yang sangat berat - sampaikan kepada isteri seorang kawan yang baru meninggal dunia bahawa arwah ada seorang lagi isteri.
Kawan saya itu pula bukan sembarangan orang. Dia ustaz di pejabat agama, yang kerjanya berceramah hal rumah tangga.
Selepas dia meninggal, saya dihubungi seorang wanita yang mengaku isteri kedua ustaz itu. Dia minta saya sampaikan kepada madunya bahawa dia tidak mahu sebarang harta pusaka arwah, walau sesen pun.
Katanya, pernikahan mereka hanya untuk menghalalkan pertemuan bagi membolehkan dia mendalami Islam. Wanita itu seorang mualaf.
Esoknya, saya ke rumah arwah dengan membawa Gunung Kinabalu di atas kepala. Tidak cukup satu kepala, saya ajak isteri sama menjunjung. Beratnya seolah-olah saya sedang bawa bakal isteri untuk bertemu bakal madunya buat pertama kali.
Di rumah arwah, saya bergagah untuk beritahu apa yang perlu disampaikan. Isteri pula sudah siap siaga. Adanya dia, boleh tolong tenteramkan kalau-kalau berlaku adegan tak diingini.
Tetapi yang saya betul-betul kagum, balu arwah yang saya panggil ‘Kakak’ itu cukup tenang hadapi situasi itu. Walaupun menangis, dia bijak sembunyi air mata. Bayangkan, suami sudah tiada, baru tahu dirinya bermadu.
Minta dijauhkan isteri saya dari situasi itu. Setidak-tidaknya, biarlah dia tahu ketika saya masih ada.
Kakak kemudian bertanya: “Siapa nama dia, Mat?”
Selepas saya beritahu, agak mengejutkan apabila dia berkata: “Betullah!”
Lalu saya tanya: “Kakak dah tahu?”
“Baru semalam, semasa mengemas barang arwah, saya jumpa diari dia. Banyak sajak dalam diari dia sebut nama itu...”
“Oh!”
Walau apa pun, ‘Kakak’ minta saya jangan tulis sebarang berita mengenai hal itu.
“Sebab arwah pun dah tak ada, nanti takut anak-anak kecil hati sedangkan dia sudah tak ada,” katanya.
Lagi sekali saya berasa teramat kagum kepada ‘Kakak’.
Dalam perjalanan pulang, saya beritahu isteri akan perasaan saya berhadapan dengan situasi tadi.
“Saya pastikan awak tak akan hadapi nasib seperti itu.”
Isteri tersenyum.
Kemudian saya berkata lagi: “Sekurang-kurangnya, kalau pun jadi, awak akan tahu ketika saya masih ada lagi...”
“Apa????”
Dan sepanjang perjalanan itu, saya terpaksa menjunjung Everest pula di atas kepala.
Pengakuan seorang gadis sedia dimadu
MUHAMAD MAT YAKIM
27 April 2012
Baru-baru ini, saya dapat peluang meneroka hati seorang kawan - perempuan - yang sedang hangat bercinta dengan suami orang.
Usianya awal 30-an, sangat cantik, berkerjaya tetap, punya kereta dan rumah sendiri.
Walaupun hidupnya nampak sempurna tetapi saya tahu, hatinya tidak ceria. Ini tidak lain, tidak bukan kerana cintanya terhalang. Maklumlah, kekasihnya suami orang.
Sambil minum air buah menghadap tasik, saya berani-beranikan diri bertanya soalan ‘cepu gangsa’, macam mana dia mengendalikan perasaan apabila terkenang kekasihnya yang tidur malam berdakap isteri sedangkan dia seorang diri.
 “Dan macam mana pula apabila awak teringat yang ‘lebih’ daripada itu? Sedangkan dalam keadaan asyik-maksyuk macam ini, saya percaya, dalam hati awak, dia juga milik awak, bukan milik isteri dia saja.”
 Sebenarnya sudah lama saya teringin nak tanya soalan itu tetapi tidak berani. Namun pada hari itu, dengan ‘bantuan’ angin sepoi-sepoi bahasa dari tengah tasik, saya percaya, kalaupun dia marah, marahnya itu akan segera dibawa pergi. Dan kalaupun dia marah juga, itu mungkin hanya kerana dia berasa malu ditanya soalan yang seperti itu.
Apabila dia ambil masa yang agak lama untuk jawab, saya pun berkata: “Relaxlah, kita sudah matured, dan ini persoalan orang matured ...”
 “Sebenarnya macam ni, dengan kedudukan diri saya, jika saya terus layan rasa cemburu, saya anggap saya sudah buat kesalahan besar. Ya, bercinta dengan suami orang ini pun, bagi sesetengah orang, juga kesalahan tetapi kesalahan ini akan jadi lebih besar lagi jika saya layan rasa cemburu.
“Sedangkan hubungan dia dengan isteri dia sah, dengan saya yang tidak sah. Jadi ikut hukum apa pun, saya yang salah. Tapi inilah cinta, takdir hidup saya. Saya dah tak boleh nak tolak hakikat perasaan saya pada dia, saya sangat sayangkan dia, macam mana saya sayangkan diri saya dan keluarga saya.
 “Jadi soal cemburu, bagi saya itu hal remeh. Saya tak mahu layan sedangkan ada persoalan yang lebih besar perlu saya fikir, iaitu macam mana untuk hidup bersama dia, dan kalau memangnya tidak ada jodoh, macam mana pula untuk saya hidup tanpa dia.”
Panjang lebar sungguh penjelasannya. Ketika dia menyebut “... macam mana pula untuk saya hidup tanpa dia” diikutkan hati mahu sahaja saya menyambut: “ Abang Mat kan adaa....” Tapi apabila memikir dia sudah begitu percayakan saya, tidak tergamak pula rasa hati nak ambil kesempatan dengan cara murahan seperti itu.
Walaupun dia cukup syarat untuk jadi ‘isteri mishar’ bagi orang yang ‘gatal’ nak berpoligami tetapi tidak mampu seperti saya, saya masih perlu menghormati hubungan dia dengan kekasihnya, juga kesetiaan cinta mereka. Lagi pun, kalau sudah keluarganya menghalang dia jadi isteri kedua lelaki itu, apa pula lebihnya saya?
“Satu lagi Abang Mat ... kalau pun saya jadi kahwin dengan dia, jadi isteri nombor dua, saya akan dapat dia seorang jugak.”
“Dapat dia seorang? Apa maksud awak? Isteri dia macam mana?” Saya mula berfikir buruk.
“Bukanlah... maksud saya, kalau kami kahwin nanti, dia akan datang kepada saya, seorang, satu... bukannya setengah. Saya bukan nak dapat badan dia yang dibahagi dua. Cuma dari segi masa saja bukan sepenuh dengan saya, macam orang yang hanya ada satu isteri, macam Abang Mat.”
Gulp!!!
“Sempat juga dia kenakan aku,” bisik saya dalam hati.
Itulah. Daripada banyak cerita yang saya pernah dengar dalam kes cinta tiga segi, atau empat segi, atau lima segi seperti ini, kumpulan wanita yang datang kemudian dalam hidup seseorang lelaki ini biasanya tidak kisah sangat tentang hal seperti itu.
Kadang kala saya terfikir juga, mereka ini tidak ada perasaan cemburukah?
Walaupun mereka tahu lelaki yang dicintai itu statusnya suami orang, tidur malam berdakap sedangkan si kekasih pula hanya mampu memeluk ‘suami belanda’ (bantal peluk) namun mereka masih juga mahu terus bercinta.
Seorang kawan saya - lelaki - pernah mengadu. Mulanya dia menyangka isterinya benarkan dia berkahwin seorang lagi.
“Mula-mula dia kata, abang nak kahwin lagi, boleh. Saya tak kisah nak berkongsi kasih, berkongsi perasaan. Betul bang, saya tak kisah. Yang saya kisah cuma satu saja ...”
“Apa dia yang satu tu?” Si suami bertanya dengan rasa galak.
“Yang satu tu, yang ‘itu’lah ... kalau abang boleh ada dua ‘benda’ itu, baru abang boleh kahwin lagi satu.”
‘Abah tak pening ada dua isteri?’
MUHAMAD MAT YAKIM
Kalaulah tidak kerana berada di kedai makan pada waktu itu, mahu saya gelak sampai guling-guling.
Saya percaya, siapa pun juga yang dengar cerita itu – waima Kofi Annan yang seluruh dunia pun tahu dia tidak pernah senyum – pun mesti gelak besar punya.

Mahu tidaknya, kawan saya itu – yang beristeri dua – bercerita hal dia ditanya oleh anaknya yang baru berumur lima tahun: “Abah, apa pasal orang lain hanya ada satu isteri tapi abah ada dua?”

Dalam keadaan si abah masih terkulat-kulat mencari jawapan, datang pula soalan nombor dua: “Abah tak pening ke, balik sana, balik sini? Kejap sana, kejap sini.

“Tengok uncle rumah sebelah tu, tiap-tiap hari balik satu rumah je… rilek je dia, tak macam abah. Abah ni… kakak yang tengok pun pening.” 

Tapi bak kata orang, kalau sudah hero, selamanya kena jadi hero. Apa lagi hero yang punya dua heroin sekali gus. Sehebat-hebat James Bond pun, hanya ada satu heroin sahaja.

Pantang hero menyerah kalah. Biar jatuh terlentang, misai jangan kena tanah!

“Kakak, inilah yang dikatakan jodoh. Jodoh ini takdir yang TUHAN dah tentukan. Kita tak boleh nak elak. TUHAN sudah tulis abah ada dua isteri, kena ada dua isterilah,” jawab si abah, macho habis.

“Ye ke macam tu, bah? TUHAN sudah tulis erkk? Kalau sudah tulis, tak boleh padam, tak boleh guna eraser?”

“Ye sayang, tak boleh. Itulah takdir namanya,” jelas si abah.

“Tapi kan, bah… kakak nanti, kalau sudah besar, tak nak la macam tu. Tak nak la ada suami macam abah, kejap sana, kejap sini!”

Terus terkedu si abah mendengar kata-kata anaknya yang baru beberapa hari masuk tadika itu.

Minggu lalu, saya hadir hari keluarga syarikat bersama isteri dan anak-anak. Antara yang paling menarik perhatian sepanjang berada di program itu ialah kehadiran seorang rakan sepejabat yang saya panggil ‘Kakak’ bersama madu dan suaminya.

Sungguh mesra dua wanita bermadu itu, lalu saya pun suarakan kekaguman kepada isteri. 

Mereka berbual dan bergurau senda – lebih mesra daripada adik dengan kakak - sementara suami dan anak-anak pula buat hal masing-masing.

Tidak! Saya hanya mahu menunjukkan kepada isteri akan ‘keindahan’ itu, tanpa ada maksud yang tersirat!

Kebetulan, pada majlis itu, saya bernasib baik dapat hadiah cabutan bertuah. Namun apa hadiahnya tidak pula awal oleh penganjur. Yang ditulis hanya hadiah misteri.

Ketika kami bertemu – di hadapan suami dan madunya, juga isteri saya – rakan sekerja yang saya panggil ‘Kakak’ itu bertanya: “Dapat hadiah apa Che Mat?”

Saya pun jawab: “Tak tau la kak, depa tulih hadiah misteri ja.”

Lalu disampuk oleh suaminya: “Kalau misteri tu, hadiahnya hadiah madu asli, Mat! Hang tau ka apa tu hadiah madu asli?” Dia bertanya sambil tersenyum penuh makna.

“Tau abang, faham… tapi saya tak sedia lagi. Nak kena berguru dulu.”

Saya perlu beri jawapan yang paling selamat kerana sedar, ada ‘juri’ yang sedang menilai jawapan dan reaksi saya pada masa itu.

Ya, itulah jawapan yang paling selamat saya boleh berikan. 

Walau apa pun, saya mengaku, mahu memanglah mahu, tetapi sedar bahawa saya bukan sahaja tidak mampu malah tidak laku. Bukan tidak pernah cuba!
Payu dara bantu tambah umur lelaki?
MUHAMAD MAT YAKIM
30 Mac 2012
Saya nak pesan kepada semua wanita - anak dara, isteri orang ataupun janda - andai ada lelaki yang merenung dada anda dengan pandangan yang luar biasa, anda hanya perlu berkata: “Saudara, janganlah percaya pada kajian itu ...”

Ini kerana, dia mungkin sudah ‘disampuk’ oleh laporan jurnal perubatan, New England Journal of Medicine bahawa lelaki yang merenung payu dara wanita (perlu disebut wanita kerana jenis yang tidak berjenis itu tidak terlibat dengan kajian ini) selama 10 minit, usianya bertambah sehingga enam tahun.

Pakar yang mengetuai kajian itu, Dr Karen Weatherby berkata, tempoh 10 minit merenung payu dara wanita kesannya dari segi kesihatan bagi lelaki, menyamai bersenam selama 30 minit di gimnasium. (Saya tertanya-tanya mengapa dipanggil payu dara walaupun yang ‘membawanya’ ke sana ke sini bukan semestinya anak dara sahaja.)

Dr Weatherby bersama kumpulan penyelidiknya dikatakan menjalankan kajian itu selama lima tahun, melibatkan 200 lelaki Eropah. Tempoh yang lama itu barang kali sengaja ‘dilamputinggikan’ supaya orang ramai lebih yakin dengan penemuan mereka.

Jadi, kepada wanita, jika dada anda menjadi sasaran renungan, ingatlah bahawa lelaki yang merenung itu hanya mahu umurnya panjang, bukan untuk apa-apa!

Secara peribadi, saya sendiri meragui usia seseorang boleh jadi panjang hanya dengan merenung dada wanita. Tetapi saya pasti tidak menafikan jika yang dikatakan bertambah panjang itu bukan usia.

Apa pun, kita kena faham bahawa yang mengkaji itu bukan Islam. Yang dikaji, pun kita percaya bukan Islam. Dan yang meyakininya, biarlah bukan Islam juga.

Kita yang Islam, ada pegangan tersendiri mengenai usia, iaitu apabila tibanya ajal, tidak akan terlewat, atau terawal walaupun sesaat. Apa yang kita boleh lakukan hanya dengan berdoa minta ALLAH SWT memanjangkan usia, bukan dengan merenung dada wanita.

Bayangkanlah, jika satu kelompok masyarakat yang besar meyakini fakta kajian ini, bagaimana nasib golongan wanitanya?

Di mana-mana juga, dan pada setiap masa, mereka sudah tentu akan menjadi sasaran renungan oleh semua lelaki atas satu sebab yang disarankan oleh fakta kajian kumpulan cerdik pandai itu yang diiktiraf oleh sebuah institusi yang diiktiraf dan disiarkan pula dalam jurnal perubatan yang diperakui.

Ya, saya katakan semua kerana sudah tentu semua orang mahu berumur panjang. Ada yang tidak mahu berumur panjang? Jika ada, sila angkat tangan!

Saya sendiri pun akan buat begitu - jika saya berkeyakinan dengan fakta itu - malah di depan isteri pun saya berani untuk merenung dada wanita lain. Jika ditegur, saya sudah siap satu soalan khusus yang mahu ditanya kepada isteri: “Apa awak suka jika saya mati cepat?

Awak tak sayangkan saya???”

Anda sendiri pun tahu jawapannya. Maka dengan itu, bebaslah untuk saya merenung dada mana-mana wanita yang saya suka.

Dan jika dia tanya mengapa saya hanya renung dada wanita muda, pun juga saya ada jawapannya: “Doktor mata pun nasihatkan, kalau mata kita letih, kita kena renung sesuatu yang segar, fresh, bukan yang sudah layu. Saya bukannya apa, bimbang kalau merenung yang sudah layu, akan buat saya pendek umur.”

Tetapi, itu hanya jika saya meyakini kajian oleh Dr Weatherby dan Rakan-rakan, sedangkan hakikatnya, saya tidak percaya!

Seorang kawan, lain pula pandangannya ketika kami berbincang mengenai topik ini.

Tanpa sebarang kajian, dia membuat kesimpulan seperti ini: Ada kemungkinan jika direnung payu dara yang sama setiap hari, boleh pendek umur. Sebab itu, lelaki dibolehkan berkahwin sampai empat kerana dengan merenung empat pasang payu dara yang berlainan, umur boleh panjang!

Seperti penemuan kajian Dr Weatherby dan Rakan-rakan, saya nak nasihatkan, pendapat kawan saya ini pun janganlah anda percaya!
Lelaki juga perlu berpantang
MUHAMAD MAT YAKIM
10 Februari 2012
Selalu disebut, lelaki lebih ringan bebanan berbanding wanita. Bagi wanita, tuahnya lelaki dan susahnya mereka kerana mengandung dan bersalin. Memanglah. Mengandung memang azab, bersalin pula lebih azab. Tetapi ganjaran yang dijanjikan, hebat.

Jika perempuan perlu berpantang selepas bersalin, lelaki pula terpaksa berpantang sepanjang hayat. Hidup sebagai lelaki, banyak pantang larang perlu dipatuhi. Dalam hal buang air kecil sahaja, bermacam-macam. Kencing dalam air tidak boleh, berhampiran busut jangan sekali-kali.

Malah kencing seeloknya perlu berlapik daun atau mesti di atas benda keras. Ketika diingatkan tentang pantang larang ini tatkala usia menginjak remaja, banyak yang saya tidak faham.

Kencing di dalam air, sangka saya hanya dalam keadaan berendam. Ada logiknya dilarang kerana liang yang terbuka memungkinkan air dari luar menceroboh masuk lalu menjejaskan sistem badan.

Namun apabila diberitahu, bukan sahaja berendam malah berdiri di tebing dan pancut ke air juga dilarang, saya jadi lebih tidak faham. Dan sekali lagi saya tercari-cari akan logik larangan itu.
Hinggalah akhirnya, apabila ada ustaz memberitahu tempat berair seperti sungai, tasik dan mangkuk tandas cukup digemari oleh jin, saya cuba membuat tafsiran sendiri iaitu siapa yang tidak tidak meradang jika tempat tinggalnya dikencing orang.
Katakan, satu keluarga jin sedang tonton Maharaja Lawak Mega, tiba-tiba mereka anak beranak disembur hujan hangat yang berbau hancing, mahu mereka tidak mengamuk?

Dan kita pun tahu, jin boleh menyelinap masuk ke dalam urat darah manusia, dan untuk membalas dendam, mereka boleh masuk ke dalam salur darah orang yang didendami.

Lalu akhirnya, jadilah orang itu bermasalah, sama ada ‘teratai layu di tasik madu’ ataupun terus ‘rendang tidak berbuah’.

Sebab itulah, orang kita dahulu setiap kali mahu kencing, bertabik dahulu sambil minta izin ‘datuk nenek’. Yang kencing di busut, jangan ceritalah. Ada kisahnya terus jadi telur burung unta.

Tidak! Saya bukan mahu mengajak percaya pada khurafat tetapi makhluk halus sememangnya ada. Dan kita juga harus ingat akan sumpah bapa mereka, Iblis yang dia akan terus mengganggu gugat iman kita hingga hari Kiamat.

Sebab itulah, Islam, agama yang syumul ini mengajar kita supaya berdoa dan menjaga adab setiap kali masuk tandas. Bukan sahaja doa, malah kita digalakkan supaya tutup kepala juga.

Termasuk dalam bab adab buang air kecil, yang tujuannya tidak lain tidak bukan untuk memastikan si burung dapat terus ‘berkukuk’ nyaring terutama pada waktu pagi ialah jangan sekali-kali kencing berdiri. Saya percaya, pantang ini ramai yang ingkari.

Walaupun nampak remeh, namun seperti kata Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dalam satu bual bicara TV baru-baru ini, kencing berdiri boleh mengakibatkan rezeki seseorang jadi sempit, pelupa dan yang lebih buruk, ‘ada burung tetapi burung tidak boleh terbang’!

Masalah ‘ada burung tetapi burung tidak boleh terbang’ bagi lelaki adalah perkara kedua paling ditakuti dalam hidup selepas mati. Tetapi masuk ke tandas-tandas awam, berapa ramai yang kita lihat kencing berdiri?

Harus diingat bahawa sebarang perkara yang dilarang Rasulullah SAW, sudah tentu ada akibatnya yang tidak baik. Dalam satu kuliah yang saya hadiri beberapa malam lalu, ustaz yang berceramah menceritakan hal dia didatangi seorang lelaki yang mahu peluk Islam tetapi satu masalah yang menghalang, dia takut kena ‘potong’.

Lalu lelaki itu pun bertanya kepada ustaz sama ada dia ada pilihan untuk tidak kena ‘potong’. Maka si ustaz pun jawab, “Tak mahu potong pun tak apa tapi tiap kali mahu sembahyang, awak kena cuci sampai bersih.”

Setelah beberapa lama bersembang dan melihat lelaki itu tidak lagi tertekan dengan kewajipan ‘dipotong’, barulah si ustaz memasukkan daun:

“Tapi kalau awak ‘potong’ itu lebih baik, lebih bersih malah lebih ‘sedap’ ...” Ditanya pula lelaki itu kepada ustaz, “apa yang lebih sedap?”

Lalu dijawab oleh ustaz, “kalau awak sudah kahwin, itulah yang lebih sedap. Macam awak makan pisang, makan sekali dengan kulit atau makan pisang yang sudah dibuang kulit yang lebih sedap?”
Wanita buat apa sahaja demi lelaki
MUHAMAD MAT YAKIM
9 Mac 2012
Seorang kawan yang beristeri dua baru-baru ini merungut: “Aku kahwin dua apabila isteri tua aku naik ‘sendo’, sudah tak berapa sedap mata nak tengok. Tup-tup, baru setahun dua kahwin, yang muda ini pun sudah ada tanda-tanda nak ikut jejak langkah ‘kakak’ dia jugak.”

Meskipun ada rasa simpati berbaur kebimbangan kalau-kalau ditengking - kerana menyedari isu itu boleh diklasifikasikan sangat sensitif - namun saya dan kawan-kawan lain sememangnya tidak mampu hendak menahan ketawa yang bergelodak di dalam perut mendengar pengakuan kawan itu. Kalau ditahan juga, mahu rasanya masing-masing jadi seperti Pinatubo.

“Habis tu, hang tambah la satu lagi. Carilah yang macam Neelofa pulak, moga-moga tidaklah naik sendo yang nombor tiga ini,” saya sengaja bikin hangat setelah melihat muka kawan saya itu mula berubah jadi seperti muka ikan ketuka di meja pasar menjelang Maghrib.

“Gila kau! Yang dua ni pun kadang-kadang aku rasa macam nak terjun KL Tower, kau suruh tambah lagi,” katanya, langsung mengundang ketawa ‘simpati’ yang lebih kuat daripada saya dan ahli mesyuarat teh tarik yang lain.

Memang. Lelaki amat mementingkan bentuk badan pasangan. Sebab itu, tidak hairanlah jika di negara kita yang sering berkumandang slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ ini, ramai wanita sanggup telan pil bergantang-gantang, minum jamu bergelen-gelen semata-mata untuk memastikan bentuk badan sentiasa unggul dan menawan macam Rozita Che Wan.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yang setiap hari bersenam terkinja-kinja mengikut rentak lagu Flashdance What A Feeling Irene Cara. Tak mainlah lagu-lagu meliuk-lentuk macam lagu Tudung Periuk.

Itu belum lagi masuk bab mereka yang sanggup jilat kulit pau sahaja pada waktu tengah hari, dan hanya kemam kulit epal untuk makan malam.

Pendek kata, wanita sanggup buat apa sahaja untuk jaga badan, yang sudah tentu segala susah payah itu untuk mengindahkan pandangan lelaki. Alangkah beruntungnya jadi lelaki!

Ya, ini kerana ramai lelaki yang sangat cerewet dalam hal bentuk badan pasangan.

Saya teringat cerita seorang kawan yang mengadu dia selalu bermimpi melihat almari besar di dalam bilik tidurnya berjalan sendiri pada waktu pagi. Apabila dia terjaga dan menoleh, didapati isterinya sudah tiada di sisi.

“Rupa-rupanya yang aku mimpi itu bini aku, dia berjalan pergi bilik air,” katanya sambil ketawa terbahak-bahak. Begitulah kejamnya ‘mimpi’ seorang suami, yang dia sendiri pun setiap hari berjalan membawa tembikai susu terlebih masak ke sana ke sini.

Kerana piawaian yang begitu ketat oleh kaum lelaki, tidak hairanlah apabila ramai wanita sanggup menyiksa diri untuk memastikan diri mereka terus sedap dipandang oleh suami, lebih-lebih lagi memikirkan kalau-kalau ada saingan menanti.

Biarlah hanya melapik perut dengan kulit pau atau kulit epal, janji jangan diri berubah jadi seperti nangka masak yang sudah tidak ada potongan. Siapa tahan telinga jika suami asyik bercerita mimpi dihempap tong gas atau batu pelapik tiang rumah?

Namun, sedar atau tidak wahai wanita bahawa pengorbanan anda yang hanya untuk menyedapkan pandangan kaum lelaki, sebaliknya memarakkan lagi situasi tidak adil yang sekali gus akan menyebabkan anda terus menerus ditekan perasaan.

Misalnya, kawan saya yang merungut apabila isteri keduanya, yang dulu bukan main lagi dipuji langsing seperti biola Hamzah Dolmat tetapi sekarang sudah jadi seperti ‘double bass’, perutnya sendiri pun bunting gajah.

Tetapi sudah jadi resam lelaki sejak azali, hal diri sendiri tidak pula diutamakan, sebaliknya pandangan mata yang mesti didahulukan. Apa yang dipandang, mesti sentiasa elok biarpun perut sendiri memboyot!

Kerana itu, suka saya menasihatkan kepada wanita, berkorban biarlah berpada-pada. Jangan sampai merosak diri. Bukan mahu dikata bersenam itu tidak perlu, atau menjaga badan itu tidak perlu. Apa yang paling penting ialah menjaga kesihatan. Biarlah menggeleber, menggelambir seperti leher ayam piru, asalkan sihat.

Ramai lelaki sebenarnya tidak cerewet mana pun soal rupa paras atau bentuk badan, terutama apabila diri sendiri atau pasangan sudah menginjak angka ‘4 series’.

Pada peringkat ini, isu perhatian mesti didahulukan manakala pemahaman perlu diutamakan. Jika hati sudah ditambat, jangan bimbang soal wajah nan pucat tanpa mekap atau badan yang seperti tong cat. Yang paling penting adalah cinta sejati. Bagi saya, tiada guna beristeri cantik jika suami sendiri siang malam makan hati. Maklumlah, yang cantik itu biasanya bersaham tinggi.
Wanita lebih suka lelaki hitam
MUHAMAD MAT YAKIM
23 Mac 2012
Setiap kali ke luar negara, terasa sangat diri saya tidak kacak apabila dikelilingi lelaki-lelaki asing. Bukan pula mahu berkata di dalam negara saya perasan kacak, namun di sana, tahap keinsafan betapa tidak kacaknya saya lebih memuncak.

Saya pernah ke Jordan di mana lelaki-lelakinya tua dan muda sentiasa berjaket. Ya, gaya mereka sangat western. Walaupun Arab, kebanyakan lelaki Jordan lebih bergaya koboi. tidak seperti di Saudi atau Kuwait.

Di Iran pun begitu juga. Dikelilingi mereka, saya terasa seperti kambing gurun yang diletak sekandang dengan biri-biri Australia. Oh! Begitu terasa ...

Seorang lelaki Iran, yang berumur 70 tahun, pun saya berasa jauh lebih kacak berbanding diri saya yang baru ‘sweet 41’ ini.

Di Israel, yang lelaki-lelakinya seantero dunia pun tahu betapa kejamnya mereka, pun juga lawa belaka. Tidak hairanlah kerana mereka sememangnya daripada keturunan Nabi Yusuf yang terkenal sebagai antara manusia yang paling ‘ganteng’ pernah lahir di muka bumi.

Dalam kitab pun ada disebut, wanita Mesir pada zamannya sampai terpotong jari dek terpesona dengan kekacakan Nabi Yusuf. Kerana itu, meskipun Yahudi hari ini dipercayai bukan lagi asli waris Nabi Yaakub, namun sedikit sebanyak warisan kekacakan itu masih tinggal..

Ya, negara yang membuatkan saya tidak begitu terasa rendah diri setiap kali dikunjungi hanya jiran tetangga kita. Sekurang-kurangnya apabila berada di Jakarta, Jogja atau Bandung, saya masih boleh berasa sedikit ‘lebih’ berbanding lelakinya. Itu pun janganlah dibandingkan dengan Once atau Airel Peterpan, habislah saya!

Ketika di Phnom Penh, apabila ada wanita bergaun kembang dan memakai topi lebar ala Perancis tersenyum, saya tidaklah sampai menoleh sekeliling untuk mencari kalau-kalau senyumannya itu ditujukan kepada orang lain.

Minggu lalu, ketika bersiar-siar di Piccadilly Garden di kota Manchester, United Kingdom, sekali lagi rasa rendah diri atas sebab yang sama, menyelubungi diri saya. Setiap kali berselisih dengan lelaki kulit putih di jalanan membuat saya rasa comot dan boyot.

Hinggalah kemudiannya, ketika melayan ‘jetlag’ di bilik hotel dengan melayari Internet, saya terjumpa maklumat yang sangat melegakan. Ia berkaitan dengan kajian sekumpulan saintis di sebuah universiti di Toronto, Kanada yang diketuai pakar sosiologi, Dr Shyon Baumann, yang mendapati lelaki berkulit hitam atau gelap dianggap seksi dan disukai wanita.

Menurutnya, memang satu perkara yang biasa apabila lelaki lebih meminati wanita berkulit cerah manakala wanita pula cenderung untuk memilih lelaki berkulit hitam.

Lelaki dikatakan sering mengaitkan wanita berkulit putih bersih lagi gebu sebagai lambang kesucian, baik budi pekerti, berakhlak mulia dan lemah lembut. Manakala wanita pula ramai yang menganggap lelaki kulit hitam sebagai penuh misteri, rakus, lasak, bahaya yang kesemuanya boleh disimpulkan sebagai seksi dan mempunyai pesona syahwat yang kuat.

Bagi kebanyakan lelaki kata Dr Baumann, meskipun mereka mempunyai latar belakang yang berbeza, budaya yang tidak sama, namun dari segi perhatian terhadap wanita, mereka tetap mempunyai persamaan iaitu wanita yang berkulit putih dan berambut perang dianggap paling menawan.

Berbekalkan kefahaman itu, esoknya saya turun dari bilik ke lobi hotel dengan penuh semangat.

Saya cuba mencari perhatian dengan memberikan senyuman semanis mungkin setiap kali berselisih dengan wanita kulit putih, termasuk ketika berada di kafe hotel.

Akhirnya seorang rakan yang tahu akan motif saya, mengingatkan: “Sedarlah sikit bro, yang kajian itu kata, lelaki kulit gelap, kulit hitam, yang engkau tu sawo matang ...”

“Oh! Ya tak ya jugak.”

 ‘Awan nano’ itu pun datang semula menyelebungi saya ...

 DARI BLOGTAZKIRAH

POLIGAMI DALAM ISLAM DAN DIMANA KITA


Perkara ini memang sensitif untuk diperkatakan atau dibincangkan...lebih2 lagi dikalangan kaum wanita dan ibubapa yang ada anak perempuan belum kahwin...sedangkan anaknya pula bercadang atau sanggup bermadu,juga isteri yang sedang dimadukan atau akan bermadu....Bab ini memang telah banyak kali diperbincangkan dan hebohkan... juga telah lama diajukan oleh kawan lelaki2 penulis,agar penulis tulis didalam blog ini(mungkin mereka bercadang hendak pasang lebih kod)

...ini kesempatan ada....dan penulis cuba kupas mengikut ilmu yang sedikit yang ada pada penulis yang dikurniakan oleh Allah swt...memang penulis ada mengajar bab munakahat termasuklah bab poligami ini.....ayat Quran yang menyatakan keharusan@boleh berpoligami ialah pada surah an nissa ayat 3....'maka berkahwinlah kamu dengan perempuan yang baik untuk kamu dua atau tiga atau empat.......'maksud alQuran... manakala hadis saw...'pegang empat sahaja lepas yang baki'...maksud alHadis....

Jika diselidik dengan mendalam nescaya kita dapati syariat nabi Muhammad saw sesuai dengan kejadian manusia....dalam syariat nabi Musa as...seorang lelaki boleh menghimpun berapa banyak isteri tanpa had(memandang muslihat lelaki sahaja).....syariat nabi Isa as pula seorang lelaki tiada harus berkahwin melainkan seorang perempuan sahaja (memandang muslihat perempuan sahaja).Manakala syariat nabi kita dalam keadaan pertengahan antara dua syariat yang terdahulu itu....dalam hadis nabi saw telah bersabda...'sebaik2 pekerjaan itu ialah yang pertengahan'...maksud alhadis...

Maka syariat nabi Muhammad saw sesuai dengan kejadian manusia,lebih2 lagi buat masa ini dan nabi yang terakhir...kerana:

1.Boleh dikatakan tiap2 negeri didalam dunia bilangan perempuan ramai dari lelaki.

2.Bilangan lelaki kurang ramai,namun demikian setengah2 mereka banyak pula yang gugur dalam menentang musuh negara atau terkorban di medan peperangan kerana mempertahankan tanahair.dengan demikian jumlah bilangan semakin kurang....itu kita tolak yang dipenjara,di pusat2 pemulihan dadah...tiada pekerjaan dsbnya....ini menyebabkan ia bertambah kurang jumlahnya....

Ini jelas nampak daripada rashia yang tersembunyi dicelah firman Allah swt dalam surah an nissa ayat 1....iaitu 'wa nissa@wa nissa ah' yang jatuh kemudian daripada perkataan 'kathira@kasiro dalam ayat 1 surah an nissa..(sila rujuk quran untuk mendapat sebutan bunyi yang betul-juga sebagai pengesahan)...maksudnya...'wahai manusia hendaklah kamu takutkan Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu daripada yang satu(Adam)dan ia telah menjadikan daripada diri yang satu iaitu isterinya(Hawa) dan Ia(Allah) membiakan daripada keduanya lelaki yang banyak(ramai) dan perempuan2.'

Disitu Allah menyebut perempuan2 sahaja tidak disebut 'banyak@ramai',dipandang dari segi kenyataan kita dapati ramai daripada kelamin2 mempunyai anak lebih bilangan anak perempuan daripada anak lelaki..daripada nyatalah seolah2 perkataan 'nissa@nissa ah' itu bersifat dengan 'aqsar'(lebih banyak)......

3.Jika padukan satu sama satu sahaja jadilah yang lebih itu tidak ada tempat untuk hidup yang boleh mendapat nikmat bersama..

4.Biasalah tabi'e orang lelaki sahywatnya lebih dan sentiasa berkehendak kepada kepuasan nafsunya sepanjang masa.,manakala perempuan banyak rintangannya seperti,berhaid,mengandung,beranak dan nifas.Jika bilangan isteri itu lebih nescaya apa yang kurang daripada satu dapat disempurnakan dengan yang lain.

5.Terkadang setengah perempuan itu berkehendak kepada perlindungan untuk keselamatan atau untuk sara hidup,jika tidak ada poligami nercaya putus harapan perempuan2 yang bujang itu mendapat pembelaan.

6.Tidak sukakan poligami itu ialah kerana cemburu dan irihati tidak mahu suami bersuka2 dengan perempuan lain.Itu memang tabi'e semula jadi tidak dinafikan,tetapi perasaan itu boleh diketepikan atau dikurangkan,kerana jika dikutkan sangat membawa kepada akibat yang buruk kepada kedua2 pihak lelaki dan perempuan bujang yang lain,kerana mungkin kedua2 secara bersembunyi2 melakukan perkara yang tiada diredai Allah swt dan manusia.Sekiranya pihak isteri sanggup berkorban sedikit tentu saudara sejenis dengannya sama2 mendapat pembelaan.Jadi terjerumusnya saudata perempuan yang sejenis dengannya itu kedalam lembah kehinaan berpunca dari mereka yang sejenis dengannya juga kerana tidak hendak bertolak ansur barang sedikit pun..

7.Poligami itu diharuskan kerana dharurat untuk mengelakkan daripada kejahatan dan menarik kebaikan,itu pun disyaratkan mahu berlaku adil.Jika sekiranya tiada sanggup melakukan adil kekalkan dengan satu sahaja...Firman Allah swt...bermaksud..
'maka jika kamu takut tidak melakukan keadilan(terhadap isteri kamu)berkahwinlah satu sahaja atau cukuplah dengan hamba sahaya kamu sahaja'....surah an nissa ayat 3...

8.Dapat mengurangkan zuriat luar nikah dan berpeluang mendapat anak jika isteri tua mandul.....
jika dilihat sebab yang beri diatas ia begitu rasional@aidil dan lojik....bukan sifat Allah swt yang mempunyai seberang kelemahan sedangkan IA bersifat kesempurnaan...Mustahil Allah swt membuat sebarang kesilapan memberi atau menetapkan hukum...dan hukumNya sesuai memang dalam pelbagai zaman serta suasana serta adat resam.kerana IA lah yang mencipta manusia dan segalanya.Mustahil Allah swt ada sifat terlepas pandang.Sepandai2 kita tidak tahu bila kita akan mati atau masuk syurga atau neraka...oleh itu jangan berlagak dan takabur...orang berlagak dan takabur ini...tempatnya adalah neraka Jahanam.....Oleh itu jangan cuba2 mencabar Allah swt...(Takabur ini selendang@pakaian Allah...maksud alhadis)

Kita kena sedar bahawa kemampuan ilmu dan daya pemikiran kita terbatas...kita hanya mampu sekadar apa yang telah dikurniankan Allah swt sahaja.Lebih2 lagi kalau kita bercakap atau berfikir, sedangkan ilmu yang cakap@fikir itu, kita tidak arif@mahir...ditambah tidak menuntut ilmu agama,ditambah kita pula bergelumang dengan dosa,dengan kata lain ,kita sendiri banyak meninggalkan suruhan wajib malahan banyak membuat perkara apa yang dilarang Allah swt.

Takut kita jadi bahan@alat tunggangan syaitan...kita sesat dan menyesatkan orang lain...Menolak hukum2 dari quran,menolak walaupun satu huruf dari quran pun atau mempertikaikan hukum Allah cukup untuk kita keluar dari Islam@batal Islam kita...cakap kasar@kesatnya jadi kafir@murtad....kenapa kita sibuk hendak tahu perkara membatal puasa atau solat...kenapa kita mahu tahu,batalnya Islam...ambil diploma,ijazah pertama,kedua dan Phd ada masa menuntut ilmu fardu ain tidak masa...besok engkau orang jawablah dihadapan Allah swt.....